My Add

Sunday 9 December 2012

Munajat bantu rakyat Palestin tertindas

Oleh ZULKIFLI MANZOR
 *SEBAHAGIAN umat Islam yang menyertai majlis solat hajat sempena Munajat Palestin
Bersama Imam Muda dan Ustazah Pilihan di Masjid Wilayah Persekutuan malam tadi.

KUALA LUMPUR, SABTU. 08 Disember, 2012: Ribuan umat Islam menghadiri program Munajat Palestin Bersama Imam Muda dan Ustazah Pilihan anjuran syarikat Anugerah International Sdn. Bhd. (Anugerah) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

Program yang mendapat kerjasama akhbar Kosmo! itu bertujuan membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis dengan melakukan solat hajat dan bacaan Yasin beramai-ramai.

Turut berlangsung ialah sesi taklimat dan tayangan video bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada peserta mengenai penderitaan yang dialami rakyat negara itu berikutan kekejaman Israel.

Jurucakap Anugerah, Khairul Azhar Ghazali berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan orang ramai sekali gus membuktikan rakyat Malaysia prihatin terhadap kezaliman yang dihadapi saudara seagama mereka di Palestin.

"Ini merupakan sumbangan yang kita dapat lakukan untuk membantu saudara kita di Palestin yang berhadapan kekejaman Israel. Kita tidak dapat memberi bantuan dari segi fizikal tetapi kita dapat membantu dengan berdoa yang merupakan senjata umat Islam," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Turut hadir beberapa peserta program realiti Imam Muda (IM) musim pertama hingga ketiga seperti IM Hizbur Rahman Omar Zuhdi, IM Syed Mohd. Faris Syed Roslan, IM Megat Mohd. Zaid Megat Azman dan IM Muhammad Nasir M. Yakub Ismail.

Solat hajat pula diimamkan oleh IM Amiril Md. Banin, bacaan Yasin diketuai IM Mohd. Hassan Adli Yahaya manakala solat Isyak diimamkan oleh IM Abdul Jabbar Mohammed Kahar.

Sementara taklimat video mengenai isu Palestin disampaikan oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan, Aqsa Syarif Berhad, Mohd. Isa Maarof.

Khairul Azhar yang juga peserta IM musim pertama berkata, pihaknya berharap dapat meneruskan program itu pada masa depan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu Palestin dan kepentingan berdoa.

Selain majlis solat hajat dan bacaan Yasin, program turut diserikan dengan gerai jualan produk Anugerah seperti air mineral, ubat-ubatan serta produk kesihatan lain. - Kosmo 

No comments:

Post a Comment