My Add

Friday 14 December 2012

Nicol buru kejuaraan ketujuh Terbuka Dunia

KUALA LUMPUR, KHAMIS 13 Disember, 2012: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David menjadi pilihan utama Kejohanan Terbuka Wanita Dunia yang dijadual bermula lewat hari ini dengan pusingan kelayakan di Kepulauan Cayman.

Empat hari pertama kejohanan tahunan itu akan berlangsung di South Sound Club sebelum berpindah ke gelanggang kaca di Festival Green, Teluk Camana, demikian menurut laman sesawang kejohanan www.worldopensquash.com.

Nicol yang enam kali bergelar juara dunia iaitu di Hong Kong (2005), Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) dan dua kali di Belanda (2009 dan 2011), juga menjuarai Terbuka Kepulauan Cayman sebanyak tiga kali - 2009, 2010 dan 2011.

Pada perlawanan pertama Ahad ini, beliau diundi bertemu pemain di ranking ke-20 dunia Omneya Abdel Kawy dari Mesir yang merupakan naib juara Terbuka Dunia 2010.

Anak jati Pulau Pinang berusia 29 tahun itu dijangka bertemu sama ada pilihan kesembilan Annie Au dari Hong Kong atau pemain Denmark Line Hansen jika mara ke pusingan kedua.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara yang berkedudukan ketujuh dunia, Low Wee Wern akan bertemu pemain bukan pilihan dari England Sarah Kippax pada pusingan pertama.

Pemenang dijangka bertemu sama ada pilihan ke-12 dari Australia Kasey Brown atau pemain nombor tiga dunia Laura Massaro dari England pada pusingan suku akhir.

Malaysia memulakan kempen pada kejohanan ini dengan pemain nombor tiga negara Delia Arnold menentang sama ada Tesni Evans dari Wales atau pemain Mexico Ivonne Diaz pada pusingan kelayakan. - BERNAMA hd

No comments:

Post a Comment