My Add

Friday 21 December 2012

Nilai dagangan meningkat

Oleh Mohd Kamil Yusuff

NEW DELHI, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Aliran perdagangan dua hala antara Malaysia dan India mencapai tahap perkembangan yang amat memberangsangkan sehingga sasaran AS$15 bilion yang ditetapkan menjelang 2015 terpaksa diunjur semula kepada AS$20 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, aliran memberangsangkan ini ditunjukkan oleh jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2011 berbanding 2010 yang melonjak sebanyak 32.7 peratus untuk mencecah AS$12.54 bilion.

“Walaupun ekonomi dunia masih lemah dan tidak menentu, setakat ini aliran dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 5.6 peratus. Ini adalah angka yang baik walaupun kurang sedikit," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India, di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh di kediaman Perdana Menteri India itu di sini. Pelbagai perkara hubungan dua hala dibincangkan dalam pertemuan kira-kira sejam itu.

Najib juga menarik perhatian Manmohan bahawa Malaysia boleh menjadi pintu masuk ‘semula jadi’ untuk syarikat-syarikat India menyertai pasaran ASEAN yang lebih terbuka berdasarkan hubungan baik kedua-dua negara dan perspektif sejarah.

Di bidang infrastruktur pula, beliau memberitahu, Manmohan menyatakan komitmennya untuk mengambil langkah positif bagi membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia menyertai dua projek lebuh raya di Tamil Nadu.

Menurutnya lagi, perjanjian persefahaman (MoU) mengenai pembangunan dan pengurusan lebuh raya telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada 2010, namun pelaksanaannya belum menjadi kenyataan setakat ini.

“Manmohan telah menyatakan kesanggupannya mengambil langkah positif memberi peluang keada syarikat Malaysia. Butiran lanjut kita aan sahkan apabila telah dipersetujui secara rasmi nanti," ujarnya.

Mengenai pertemuannya dengan ahli Forum Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia, Perdana Menteri berkata, ahli-ahli forum itu amat aktif dan menunjukkan prestasi membanggakan dan kemampuan mereka dinilai secara positif oleh kerajaan India.

Sebelum itu, Najib menyaksikan MoU antara Amalina Holdings Sdn. Bhd. dari Malaysia dan Mirha Eksports Pte. Ltd dari India bagi usahasama di bidang pengimportan daging kerbau sejuk beku dari India.

Perdana Menteri berkata, MoU itu meliputi negeri-negeri Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan yang membolehkan daging dijual dengan harga yang lebih murah.

Amalina Holdings mensasarkan pendapatan AS$100 juta setahun. Nilai pasaran daging halal sejuk beku di Malaysia ialah sekitar AS$300 juta setahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment