My Add

Tuesday 11 December 2012

Nisbah dua katil bagi 1,000 penduduk di hospital kerajaan, swasta

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mencapai nisbah dua katil bagi 1,000 penduduk di hospital kerajaan dan swasta bagi menampung jumlah pesakit yang kian meningkat pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sasaran yang ditetapkan itu adalah realistik kerana secara keseluruhannya bilangan katil di hospital kerajaan menunjukkan peningkatan bagi tempoh tiga tahun sejak 2010.

"Pada 2010, sebanyak 37,793 katil dengan nisbah 1.33 katil bagi 1,000 penduduk, meningkat pada 2011 dengan 38,394 serta nisbah 1.33 bagi 1,000 penduduk dan untuk 2012 bilangan katil meningkat kepada 39,393 dengan nisbah 1.34 bagi 1,000 penduduk," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Norliza Abdul Rahim pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini mengenai jumlah katil di hospital kerajaan dan swasta serta langkah kementerian untuk memastikan ia mencukupi.

Liow menjelaskan selain di hospital kerajaan, fasiliti katil di hospital swasta juga perlu diambil kira memandangkan semakin ramai pesakit mendapatkan rawatan di sana.

"Justeru, jumlah katil di hospital kerajaan dan swasta juga menunjukkan peningkatan di mana pada 2010, terdapat 50,979 katil dengan nisbah 1.79 bagi 1,000 penduduk. Pada 2011 pula terdapat 51,962 katil dengan nisbah 1.79 bagi 1,000 penduduk dan meningkat pada 2012 dengan 52,897 katil bersamaan 1.8 bagi 1,000 penduduk," katanya.

Liow berkata, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak menetapkan satu jumlah khusus terhadap bilangan katil di sesebuah hospital bagi populasi penduduk di negara ini namun kementerian sentiasa berusaha untuk meningkatkan jumlahnya.
"Antara langkah yang diambil adalah melalui pembinaan hospital atau institusi baru dan gantian serta menaik taraf hospital sedia ada," katanya.

Selain itu, beliau berkata, perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan dan menaik taraf hospital kerajaan pula juta satu proses yang berterusan di kementerian bagi memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan perubatan dan keperluan serta kesihatan rakyat terjamin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment