My Add

Monday 17 December 2012

Obama temui keluarga mangsa amuk

*BEBERAPA individu bertafakur dan meratapi kematian mangsa tembakan
rambang di sebuah tempat peringatan sementara yang dipenuhi nyalaan lilin,
bunga dan patung bagi memperingati tragedi berdarah di Sekolah Rendah Sandy
Hook,Stratford, Connecticut, kelmarin. - AFP


NEWTOWN, AHAD, 16 Disember, 2012: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama tiba di Newtown, Connecticut, hari ini untuk menemui keluarga 20 kanak-kanak sekolah yang terbunuh dalam kejadian amuk di bandar ini, kelmarin bagi mengucapkan takziah.

Obama juga dijadual berucap pada majlis khas bagi memperingati mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu malam ini.

Dalam ucapannya, Obama dijangka melaksanakan pindaan ke atas undang-undang pemilikan senjata di negara ini, bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.

Dalam kejadian kelmarin, seorang pemuda, Adam Lanza, 20, masuk ke Sekolah Rendah Sandy Hook dan menembak mati 12 kanak-kanak perempuan, lapan kanak-kanak lelaki dan enam wanita yang terdiri daripada guru dan pekerja sekolah itu, sebelum bertindak menembak mati dirinya sendiri.

Sebelum itu, Lanza menembak mati ibunya, Nancy di rumah mereka.

Antara mangsa yang terbunuh adalah Vicki Leigh Soto, 27, guru di sekolah itu yang berkorban mempertahankan diri bagi menyelamatkan kanak-kanak itu daripada ditembak oleh penyerang terbabit.

Sumber yang diperoleh daripada siasatan yang dijalankan mendedahkan bahawa Lanza sememangnya bersedia sebelum melakukan serangan itu.

Tiga senjata ditemui di kawasan sekolah itu daripada jenis Bushmaster.223-kaliber, Glock dan Sig Sauer, manakala senjata keempat ditemui di luar kawasan sekolah.

Kesemua senjata itu merupakan bukti kuat dalam siasatan bagi mendapatkan maklumat mengapa Lanza menembak 20 kanak-kanak dan enam pekerja sekolah, selepas membunuh ibunya di rumah mereka.

Pegawai perubatan berkata, berdasarkan bedah siasat, kesemua kanak-kanak dan pekerja sekolah itu ditembak dengan senjata raifal yang sama, sesetengahnya berulang kali dan sesetengahnya dari jarak yang dekat. - AGENSI


No comments:

Post a Comment