My Add

Wednesday 12 December 2012

Pandangan Zam bersifat peribadi: Duta Besar

JAKARTA, RABU, 12 Disember, 2012: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata, komen bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap bekas Presiden Indonesia BJ Habibie adalah pandangan peribadi Zainuddin.

Katanya, pandangan Zainuddin itu tidak mewakili pandangan kerajaan Malaysia.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata demikian di sini pada Rabu sebagai reaksi kepada beberapa anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia berhubung komen Zainuddin itu.

Media tempatan hari ini menyiarkan laporan bahawa komen bekas Menteri Penerangan Malaysia itu, yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia Online baru-baru ini, menimbulkan kemarahan beberapa anggota Parlimen Indonesia yang juga mahu kerajaan Indonesia menghantar nota bantahan kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menganggap komen Zainuddin dalam tulisannya yang mengaitkan Habibie dengan seorang pemimpin pembangkang di Malaysia sebagai penghinaan terhadap bekas presiden negara mereka.

Bagaimanapun, Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa dalam reaksinya semalam meminta semua pihak di Indonesia supaya mengambil sikap berfikir secara tenang.

"Saya anggap ini pandangan peribadi dari yang bersangkutan (dari Zainuddin). Kita pilih cara yang paling baik untuk menyikapi hal ini. Tidak perlu membalas kerana ini tulisan peribadi seorang bekas menteri penerangan Malaysia," kata Marty sebagaimana dipetik oleh akhbar harian Media Indonesia hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment