My Add

Sunday 16 December 2012

Parti komponen yang kecil penting pastikan kemenangan besar PRU-13 

SANDAKAN, AHAD, 16 Disember, 2012: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk yang kecil adalah penting bagi memastikan kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.

"Dalam tempoh berbaki (yang singkat) ini...tidak ada lagi masa untuk kita
bertelagah. Kita mestilah bergerak sebagai satu pasukan bagi mencapai kemenangan," kata Perdana Menteri di sini, hari ini.

Berucap pada majlis perasmian Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini
hari ini, Pengerusi BN itu berkata, dalam hal ini, beliau menghargai kesetiaan
LDP yang menjadi ahli BN sejak dua dekad lalu.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden LDP, Datuk VK Liew dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib menyambut baik kehadiran Mahathir ke kongres itu yang menurutnya menunjukkan "beliau adalah seorang pemimpin yang sanggup berkorban dan sayang
kepada BN yang memperjuangkan kepentingan rakyat".

"Sebagai bekas perdana menteri, Tun Mahathir boleh memilih beriadah pada
hari minggu namun beliau datang ke Sandakan bersama kita. Mesejnya ialah
meskipun tiada jawatan...meskipun tidak terpilih calon kita tetap menyokong BN,"
katanya.

Sambil menyifatkan 13 ahli parti komponen BN itu sebagai anak, beliau
berkata, bukan mudah untuk mengurus segala-galanya terutama memberi kepuasan
kepada semua.

"Namun dengan adanya tolak ansur maka 13 orang anak ini hidup dalam keadaan
aman damai. Inilah kelebihan BN berbanding pembangkang, kita kuat kerana kita
bersatu dan bekerjasama sebagai sebuah keluarga," katanya.

Najib berkata, kawasan Sandakan, yang juga pintu masuk (gateway) ke
Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina
BIMP-EAGA, mempunyai masa depan yang cerah di bawah BN.

"Seperti yang dicadangkan oleh Presiden LDP (VK Liew), tiada masalah kita
naiktaraf lapangan terbang Sandakan...cadangan bina jalan pintas Libaran pun
saya setuju.

"Namun, pada masa sama, rakyat di sini harus memberi sokongan
kepada kerajaan BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sandakan memberi sokongan padu kepada
BN, sekaligus mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan pada pilihan raya umum
akan datang.

Beliau berkata, BN adalah pilihan terbaik untuk rakyat negara ini terutama
di Sabah.

"Apa juga janji BN, kita akan deliver (tunaikan). Misalnya dalam pilihan
raya kecil Parlimen Batu Sapi yang lalu, janji kita...kita deliver. Saya gembira
kerana Sabah memberi respon yang baik kepada BN.

"Sebelum ini, apabila saya kata Sabah adalah 'fixed deposit' untuk BN...pihak pembangkang ajak rakyat Sabah simpan di tempat lain, namun the best interest is still the Barisan Nasional," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment