My Add

Monday 24 December 2012

Pas akan terima kesan buruk

KUALA LUMPUR, AHAD, 23 DisEMBER, 2012: Pas akan menerima impak buruk termasuk hilang kepercayaan dalam kalangan ahli parti itu sekiranya penyokong mereka berterusan keluar daripada parti tersebut seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Ahli Bersekutu Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, tindakan ahli yang keluar parti itu memberi gambaran mereka tidak lagi percaya dengan agenda perjuangan Pas.

"Ahli-ahli ini tidak berpuas hati kerana Pas mengetepikan perjuangan asal mereka iaitu pembentukan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud sebaliknya beralih pula kepada negara berkebajikan supaya selari dengan kerjasama parti dalam pakatan pembangkang iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan nekad beberapa ahli Pas termasuk yang sudah bersama parti itu berpuluh-puluh tahun lamanya yang bertindak meninggalkan parti tersebut dan menyertai UMNO.

Terbaru, sebanyak 300 ahli Pas di Terengganu semalam mengisytiharkan meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO dengan menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mohd. Azizuddin, tindakan keluar parti itu juga merupakan mesej jelas daripada ahli akar umbi parti tersebut supaya kepimpinan Pas kembali kepada perjuangan asal.

Sementara itu, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, tindakan ahli Pas tersebut merupakan perkembangan positif ke arah penyatuan dan perpaduan masyarakat Islam khususnya dalam Pas dan UMNO.

Katanya, kesediaan ahli Pas menyertai UMNO itu juga menunjukkan persepsi buruk yang sering dilemparkan pemimpin Pas terhadap UMNO dalam kalangan ahli-ahlinya semakin terhakis.

"Penghijrahan ahli-ahli Pas itu sepatutnya membuatkan pemimpin kedua-dua parti mencari jalan perpaduan dalam masyarakat Islam tanpa menidakkan kehendak ahli akar umbi," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment