My Add

Thursday 6 December 2012

Pasar raya dipecah masuk, rugi RM200,000

PEKAN, RABU, 05 Disember, 2012: Sebuah pasar raya di Jalan Tanah Putih di sini kerugian wang tunai RM200,000 selepas premis berkenaan dipecah masuk awal pagi semalam.

Kejadian terbabit hanya disedari penyelia pasar raya berkenaan yang terkejut apabila mendapati ruang dalam pejabat pasar raya itu berselerak ketika membuka premis berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman, penyelia terbabit kemudian menghubungi majikannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan pukul 9 pagi semalam.

"Kejadian terbabit dipercayai dilakukan lebih daripada seorang suspek antara pukul 12 tengah malam sehingga pukul 5 pagi.

"Suspek dipercayai menceroboh masuk selepas memanjat bumbung premis berkenaan sebelum mengumpil pintu pejabat pasaraya itu.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa suspek lagi berkawal di luar premis terbabit,” katanya.

Katanya, selepas mengumpil pintu berkenaan, suspek kemudian menggeledah ruang pejabat terbabit dan juga mengumpil peti besi yang menyimpan wang tunai berkenaan.

Kata beliau, suspek juga dipercayai melarikan diri melalui laluan yang sama dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment