My Add

Tuesday 18 December 2012

Pekerja Malaysia naik gaji 2013

SINGAPURA, ISNIN, 17 Disember, 2012: Hampir setiap pekerja di Malaysia dijangka mendapat kenaikan gaji pada tahun depan, demikian menurut Laporan Workmonitor Randstad terbaharu bagi suku keempat yang diumumkan hari ini.

Perangkaan itu adalah yang tertinggi dari kajian yang dilakukan di seluruh dunia dalam kalangan 14,780 pekerja daripada 32 negara.

Kajian itu mendapati, responden di rantau ini kurang keyakinan mengenai prospek kenaikan gaji di China (82 peratus), Singapura (76 peratus), Australia (75 peratus), New Zealand (69 peratus) dan Jepun (42 peratus).

Pengarah Randstad Malaysia, Jasmin Kaur berkata, sentimen itu adalah sejajar dengan prestasi kewangan perniagaan yang jitu di seluruh Malaysia.

Katanya, empat daripada lima (82 peratus) pekerja yang dikaji selidik membayangkan syarikat mereka mencatatkan prestasi yang baik tahun ini walaupun ekonomi berhadapan cabaran.

"Para pekerja memikul beban kerja yang lebih berat dan menjangka diberi ganjaran sebagai mengiktiraf usaha masing-masing pada tahun ini," katanya.

Kaji selidik di kalangan 405 pekerja Malaysia juga menonjolkan bahawa tujuh daripada 10 (71 peratus) pekerja menjangka menerima hadiah tahun ini seperti pakej Krismas atau baucar hadiah dan 94 peratus menjangka menerima satu ganjaran kewangan sekali sahaja.

Jasmin Kaur berkata, adalah penting bagi para majikan mengiktiraf kerja keras yang dilaksanakan para pekerja masing-masing pada tahun ini, terutama sekali berikutan kekurangan pekerja dan keperluan mendapatkan pekerja mahir.

Menurut laporan itu, dengan menawarkan ganjaran dan insentif, para pemimpin perniagaan akan dapat memotivasikan dan mengekalkan petugas yang menunjukkan prestasi yang baik.

"Bagaimanapun, adalah penting bagi para majikan menyeimbangkan perbezaan motivasi pekerja masing-masing," katanya.

Workmonitor Randstad dilancarkan di Belanda pada 2003 dan meliputi 32 negara di seluruh dunia, yang meliputi Asia Pasifik, Eropah dan Amerika dan diterbitkan empat kali setahun.

Randstad adalah salah satu penyedia perkhidmatan pengambilan pekerja dan sumber manusia terbesar di dunia dan dengan operasi di Asia Pasifik di Malaysia, Singapura, Hong Kong, China, Australia dan New Zealand. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment