My Add

Friday 14 December 2012

Pelan Aspirasi Wanita Malaysia akan diwujud

 *SHAHRIZAT Abdul Jalil (tengah) beramah mesra bersama sebahagian orang
 ramai selepas merasmikan Program Aspirasi Wanita di Ipoh, semalam.

IPOH, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Golongan wanita di negara ini kini berpeluang menyuarakan idea, pandangan atau permintaan bagi membela nasib mereka ke arah pembentukan Pelan Aspirasi Wanita yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, golongan itu boleh berbuat demikian kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) yang terdapat di semua 222 kawasan Parlimen.

Menurut beliau, semua MPWK peringkat Parlimen akan mengumpul seberapa banyak aspirasi wanita di peringkat akar umbi untuk dianalisis oleh sebuah jawatankuasa khas sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

"Kita akan kumpulkan semua senarai aspirasi wanita ini dan berharap dalam masa sebulan dua ini, pihak MPWK Kebangsaan akan menyediakan satu pelan aspirasi wanita Malaysia untuk masa hadapan.

"Ini merupakan pendekatan terbaharu bagi mengikut jejak kepimpinan Perdana Menteri kerana hari ini kita lihat banyak pelan, program, mahupun polisi yang diperkenalkan oleh beliau, semuanya datang daripada permintaan akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Aspirasi Wanita anjuran MPWK Kebangsaan Zon Tengah yang melibatkan MPWK Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak, di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, golongan wanita terutamanya mereka yang miskin dan sakit perlu mengambil peluang ini untuk menyatakan apa yang kerajaan patut lakukan untuk mereka.

"Kadang kala wanita di peringkat akar umbi terutamanya yang miskin, mereka tidak ada cara, tidak kenal orang dan tidak tahu mana hendak pergi tetapi mempunyai idea, cadangan dan keinginan. Inilah masa mereka hendak beritahu kerana Perdana Menteri seorang pemimpin yang mendengar rintihan rakyat," katanya.

Menurut beliau, MPWK Kebangsaan akan bekerjasama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjayakan program itu yang antara lain bertujuan 'mengakarumbikan' kepimpinan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment