My Add

Tuesday 11 December 2012

Pelan tindakan LCS Iskandar Malaysia tarik minat pelabur: Najib

PUTRAJAYA, SELASA, 11 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon (LCS) Malaysia akan menarik minat yang lebih tinggi dalam kalangan pelabur untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Najib yang juga Menteri Kewangan melancarkan Pelan Tindakan LCS pada mesyuarat Anggota Berkuasa (MoA) Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), di pejabat beliau di sini.

"Kami yakin usaha ini telah memperkukuh nilai kedudukan Iskandar Malaysia dan pastinya akan merangsang minat dan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia," kata Najib dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Pelan Tindakan LCS, yang dilancarkan pada sesi Persidangan ke-18 Pihak-pihak (COP 18) di Doha pada 30 Nov, menggariskan pelaksanaan pelan untuk mengurangkan pelepasan tinggi karbon Iskandar Malaysia sebanyak 50 peratus apabila ia matang pada 2025.

Pelan tindakan itu adalah hasil daripada usaha bersama antara Jepun dan Malaysia yang dimulakan Julai tahun lalu.

Projek "Pembangunan Senario Masyarakat Rendah Karbon bagi Rantau Asia", dilaksanakan oleh Usaha Sama Sains dan Teknologi bagi Pembangunan Lestari (SATREPS).

Ia adalah selari dengan komitmen sukarela Malaysia dalam mengurangkan tahap pelepasan karbon negara sebanyak 40 peratus menjelang 2020 (berdasarkan tahap 2005) dan projek penyelidikan dimulakan dengan kajian perintis di Iskandar Malaysia.
Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, 12 tindakan yang digariskan dalam pelan itu akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, beberapa program awal yang dilancar, termasuk projek perintis Kampung Rendah Karbon di Felda Taib Andak, penggunaan perkakasan CASBEE untuk menilai prestasi alam sekitar Wilayah Iskandar Malaysia dan pelancaran Kerangka Kerja Banda Raya Pintar Iskandar Malaysia.

"Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat Jepun dengan tujuan dan minat melaksanakan projek-projek perintis yang berkaitan konsep bandar raya pintar di Iskandar Malaysia.

"Pelancaran Pelan Tindakan LCS bagi Iskandar Malaysia tepat pada masanya memandangkan banyak negara kini memberi tumpuan semula ke atas visi ekonomi ke arah ekonomi mesra alam dan pertumbuhan rendah karbon," katanya.

Beliau berkata, IRDA merancang mengguna pakai pendekatan yang sama dalam pembangunan wilayah Iskandar Malaysia.

Ismail berkata, beliau bangga kerana potensi Iskandar Malaysia terus diperakui di peringkat antarabangsa dan serantau oleh negara yang lebih maju dan berjaya seperti Jepun.

Beliau berharap pelan tindakan itu akan menggerakkan semua rakyat Malaysia serta rakan asing dan rakan usaha sama masing-masing untuk memain peranan proaktif dalam melaksanakan, dan merealisasikan masyarakat rendah karbon dan pembangunan wilayah yang berasaskan ekonomi mesra alam, selain pertumbuhan ekonomi hijau dan lestari.

"Pendekatan IRDA dalam pembangunan Iskandar Malaysia ialah menerusi agenda berfokuskan mesra alam. Pihak berkuasa membuat komitmen bahawa persekitaran hijau dan lestari kini menjadi tumpuan.

"Kami yakin pengurusan pintar sumber alam semula jadi merupakan aspek paling penting dalam pembangunan lestari dan menetapkan faktor-faktor lain, daripada cadangan pembangunan tanah dan pembangunan kejuruteraan sosial, perkhidmatan dan kemakmuran ekonomi, mesti dipertimbangkan," kata Ismail. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment