My Add

Monday 17 December 2012

Pembangkang gagal sepakat

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

SANDAKAN, AHAD, 16 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keupayaan pembangkang kononnya untuk menerajui negara ini, sedangkan banyak perkara asas yang penting masih belum gagal disepakati oleh mereka dan diperjelaskan kepada rakyat.

Sambil memberi beberapa contoh mudah, Perdana Menteri berkata, antaranya ialah seperti isu ideologi, barisan kepemimpinan, hala tuju, malah simbol kumpulan yang akan diguna pakai juga masih gagal disepakati.

"Perkara senang sebegitu masih gagal diselesaikan, bagaimana hendak mentadbir sebuah negara yang memerlukan komitmen tinggi dan kesepakatan jitu.

"Nama kumpulan parti pembangkang yang mudah itu pun masih tidak didaftarkan, bagaimana pula hendak menyelesaikan pelbagai perkara asas lain yang belum dipersetujui bersama, termasuk gagal mengemukakan jadual Kabinet yang dimahukan.

"Itu belum lagi bab memilih individu untuk menjadi Perdana Menteri, sama ada memilih Anwar Ibrahim atau Abdul Hadi Awang," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-23, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Tegas Najib, kegagalan pembangkang menyelesaikan isu asas dan dasar yang ingin dilaksanakan jelas menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat untuk mempercayai mereka bagi mentadbir negara.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan keraguan besar kepada rakyat yang berfikiran waras untuk memilih parti pembangkang yang tidak mempunyai kesepakatan.

"Rakyat perlu melihat keupayaan Barisan Nasional yang mempunyai gabungan pelbagai parti tetapi masih boleh mentadbir dengan baik kerana kesepakatan yang berjaya diamalkan di dalam parti dan mengamalkan cara hidup sebagai sebuah keluarga besar harmoni," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment