My Add

Sunday 16 December 2012

Pembangkang terus berbalah soal siapa PM

PULAU PINANG, SABTU, 15 Disember, 2012: Harapan Pas untuk melihat Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti mungkin tidak kesampaian.

Ia berikutan penolakan DAP yang tetap mahukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki jawatan berkenaan.

Hari ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh mengulangi sokongan parti itu kepada Anwar untuk menduduki jawatan itu jika pembangkang menawan Putrajaya.

''Apabila kami menang dan tawan Putrajaya, kami dalam DAP akan memberi kerjasama untuk tentukan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 di sini.

Kenyataan Karpal itu dilihat satu tamparan kepada Pas yang sebelum ini melalui Dewan Ulama mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

Karpal menjelaskan, meskipun Pas kadangkala mempunyai prinsip berbeza dengan DAP, parti itu tetap akan menjadi sekutu penting dalam pakatan pembangkang.

Beliau dalam ucapannya turut mengingatkan ahli parti itu supaya tidak memandang rendah keupayaan pemimpin veteran sepertinya.

Karpal 72, menegaskan, tanpa sumbangan dan pengorbanan pemimpin veteran, DAP tidak mungkin mampu mencapai ke tahap kedudukannya sekarang.

"Jangan lupa (jasa) veteran (DAP). Jika tidak mereka, kamu semua tidak berada di kedudukan kamu sekarang.

"Jangan sesekali memandang rendah kuasa yang ada pada pemimpin veteran," katanya yang menyertai DAP sejak 42 tahun lalu.

Semalam, Pengerusi DAP Taman Chi Liung Indah, K. Yogasigamany mendakwa wujud konspirasi untuk menyingkirkan Karpal daripada terus mempertahankan kedudukannya dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) semasa pemilihan kongres berkenaan yang berlangsung hari ini dan esok.

Konspirasi tersebut dikatakan didalangi sekumpulan pemimpin DAP yang bercita-cita tinggi untuk menawan Putrajaya tetapi gusar dengan kehadiran Karpal yang boleh menggugat hasrat mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang hadir pada perasmian kongres berkenaan berkata, calon yang layak dipilih sebagai Perdana Menteri dalam pakatan pembangkang hanya boleh diputuskan selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Beliau berkata, calon Perdana Menteri itu mesti dipilih dalam kalangan calon yang bertanding dan menang dalam pilihan raya berkenaan.

"Saya fikir masa paling baik untuk mengumumkannya ialah selepas penamaan calon kerana orang yang mahu menjadi perdana menteri perlu dipilih. Dia mesti jadi calon (pilihan raya) dan menang baru boleh (dipilih jadi perdana menteri)," katanya kepada pemberita. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment