My Add

Wednesday 5 December 2012

Pembangunan Iskandar Malaysia langkaui jangkaan

JOHOR BAHRU, SELASA, 04 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan Iskandar Malaysia yang diwujudkan enam tahun lalu kini melangkaui jangkaan ditetapkan dan berada pada landasan tepat untuk direalisasikan.

Sambil menyifatkan wilayah pembangunan ekonomi itu sebagai 'menyeronokkan', Perdana Menteri mengakui menerima banyak maklum balas baik mengenainya terutama mereka yang menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-8, di sini hari ini.

Menurutnya, ramai pemimpin yang menghadiri forum tersebut tidak putus-putus melahirkan rasa kagum terhadap pembangunan di Iskandar Malaysia.

"Ada dalam kalangan mereka yang kita bawa meninjau kawasan Iskandar Malaysia dengan helikopter dan yang jelas mereka kagum dengan kemajuan di situ selain menyifatkan ia adalah di luar jangkaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

WIEF Ke-8 yang menampilkan 120 penceramah antarabangsa bermula hari ini hingga Khamis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada itu dianjurkan secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor.

Najib berkata, Iskandar Malaysia berada di landasan tetap untuk mencapai objektifnya dan ia terbukti dengan pelbagai projek pembinaan seperti Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Legoland Malaysia dan Johor Premium Outlet.

Menurutnya, kepesatan pembangunan di Iskandar Malaysia juga mewujudkan satu perkembangan yang tidak pernah berlaku apabila kini lebih ramai rakyat Singapura memilih untuk menetap di Johor dan berulang alik ke negara mereka.

Perkembangan itu dapat dilihat apabila beberapa bas sekolah dipenuhi pelajar dari Singapura yang berulang alik setiap hari semata-mata untuk menimba ilmu di Marlborough College yang terletak di Nusajaya.

"Singapura sering dilihat sebagai pembangunan hab komersial dan kewangan, manakala kawasan selatan Johor di Iskandar Malaysia mampu memberikan kawasan kehidupan kualiti yang baik kepada mereka.

"Perkembangan ini dilihat sebagai situasi menang-menang kepada kedua-dua negara dan menjanjikan masa depan yang baik terutamanya bagi negeri Johor," katanya.

Ditanya mengenai pertukaran enam dokumen perjanjian kerjasama melibatkan nilai RM28 bilion hari ini, sekali gus dilihat sebagai tanda positif pelaburan Iskandar Malaysia melebihi RM100 bilion, Najib berkata, ia akan diumumkan tidak lama lagi.

"Jumlahnya amat menggalakkan, namun saya tidak mahu komen mengenainya pada masa ini kerana pengumuman mengenainya akan dibuat pada satu majlis eksklusif untuk Iskandar Malaysia pada 11 Disember ini," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa puas hati terhadap penganjuran WIEF Ke-8 yang mencatatkan jumlah kehadiran delegasi terbesar iaitu lebih 2,100 peserta berbanding penganjurannya sebelum ini.

"Saya sudah berjumpa dengan pemimpin yang hadir dan kesemua mereka mengatakan forum ini sangat berguna kepada semua pihak selain mampu mencetuskan pelbagai prospek perniagaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment