My Add

Wednesday 19 December 2012

Pemilihan berupa penghinaan kepada demokrasi

KUALA LUMPUR, selasa, 18 DisEMBER, 2012: Sistem pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sempena kongres parti itu Sabtu lalu jelas merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kebanyakan negara luar.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, ini terbukti apabila pemilihan jawatan Timbalan Pengerusi, Naib-naib Pengerusi dan Setiausaha Agung tidak diundi oleh 2,576 perwakilan yang hadir, sebaliknya ditentukan oleh anak-beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

"Sudah terang lagikan bersuluh bahawa DAP hanyalah demokratik dari segi nama partinya sedangkan amalannya adalah jauh panggang dari api, ibarat telunjuk lurus kelingkingnya berkait.

"Cara melantik kepimpinan utama parti yang mereka lakukan diharap membuka mata, hati dan minda rakyat bahawa demokrasi yang dilaungkan selama ini hanya ibarat madu berisi racun dan tak lebih daripada slogan kosong semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ruslan, Pengerusi DAP, Karpal Singh juga hipokrit kerana sering melaungkan slogan ketelusan, integriti dan demokrasi sedangkan jawatan yang disandang bukan dipilih ahli parti tetapi didakwanya melalui pelantikan.

Oleh itu, katanya, Karpal tidak layak untuk menentukan calon Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang seperti tindakannya menegaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengepalai kerajaan jika pakatan menguasai kerajaan kelak.

Menurutnya, atas sebab itu, para pemimpin DAP tidak layak menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak demokratik atau tidak telus dan parti itu juga seharusnya tidak mendabik dada kononnya mereka menjuarai konsep demokrasi.

"Rakyat Malaysia harus sedar jika DAP diberi peluang memerintah negara, mereka akan mengamalkan pemerintahan ala kuku besi atau autokratik kerana sebarang keputusan penting akan hanya ditentukan oleh bapa dan anak sahaja.

"Perkasa menyeru semua orang Melayu dalam DAP jika mereka ada maruah dan harga diri beramai-ramai meninggalkan parti tersebut kerana kehadiran serta penyertaan mereka tidak diperlukan dalam parti itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment