My Add

Tuesday 4 December 2012

Pencapaian besar ekonomi
 *NAJIB Tun Razak memasukkan wang ke dalam Tabung Kemanusiaan Gaza bagi membantu penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
PUTRAJAYA 3 Dis. - Perdana Menteri menyifatkan keupayaan Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam situasi yang sangat mencabar merupakan pencapaian terbesar negara sepanjang tahun ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penghargaan harus diberikan kepada para penjawat awam kerana atas sokongan mereka, beliau dapat mengemudi Malaysia keluar daripada kegawatan ekonomi global.

''Kita boleh lindungi rakyat dan negara daripada krisis ekonomi dunia, ini bukan kecil pencapaiannya kerana banyak negara berada dalam keadaan tidak menentu sehingga ekonomi mereka merudum tapi kita mencapai kadar pertumbuhan sederhana tinggi.

''Kesimpulannya tahun 2012 inilah kejayaan besar yang boleh sama-sama kita rasa bangga sebab kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan kita secara kolektif kerana berjaya keluar dari cengkaman ekonomi," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mendapat pengiktirafan dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) manakala para pemimpin besar dunia mendengar dan meneliti ucapan yang beliau sampaikan dalam forum-forum antarabangsa.

Beliau turut meminta rakyat mengambil iktibar daripada kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dengan terus memelihara keamanan dan kestabilan yang telah dikecapi negara pada hari ini.

''Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita supaya membina kekuatan untuk menghadapi musuh-musuh sama ada yang diketahui atau tidak kerana mana-mana bangsa yang gagal membina kekuatan mungkin boleh menjadi mangsa kepada kerakusan musuh yang tidak senang atau mempunyai cita-cita untuk menakluki atau menguasai kita.

''Kita juga bimbang bahawa Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama dan masjid ketiga besar fadhilatnya hari ini berada dalam keadaan terancam dan boleh diancam oleh musuh Islam, justeru kita mesti menjaga apa yang telah diperjuangkan selama ini dengan membina kekuatan berterusan," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Tabung Tangisan Gaza sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi penindasan berterusan daripada rejim Zionis.

Menurut Perdana Menteri lagi, jika mahukan profil lebih tinggi dan dihormati Malaysia perlu terus memaparkan kepada dunia bahawa negara ini semakin berjaya dan maju.

Pada penghujung ucapan beliau turut berharap agar pasukan Harimau Malaya melakar kejayaan cemerlang dengan memperoleh kemenangan pada pertandingan Piala Suzuki AFF 2012 - UTUSAN.

No comments:

Post a Comment