My Add

Tuesday 11 December 2012

Pengambilalihan DRB-Hicom perbaiki imej PROTON: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: Imej PROTON Holdings Bhd meningkat dengan ketara sejak pengambilalihan oleh DRB-Hicom Bhd, kata penasihat pembuat kereta nasional itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengurusan baharu di bawah Pengerusi Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, amat fokus dan agresif dalam memastikan imej syarikat itu setara dengan pembuat-pembuat kereta antarabangsa.

"Pengurusan sebelum ini mempunyai strategi pemasaran yang menggambarkan Proton sebagai syarikat yang mengeluarkan kereta kos rendah. Tanggapan orang ramai terhadap kereta kos rendah ialah ia berkualiti rendah.

"Pengurusan baharu (DRB-Hicom) mahu menghasilkan kereta Proton yang berkualiti, dan bagi saya, ini baik," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Pemerolehan Teknologi dan Aset bernilai RM63 juta antara Proton dan Petronas Bhd, di sini hari ini.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa pada masa akan datang, kereta Proton tidak akan hanya dilonggokkan dalam pasaran automotif tanpa pemerakuan kualiti yang sewajarnya.

"Warga Malaysia tidak lagi akan menyaksikan kereta Proton baharu yang cermin tingkapnya tidak boleh diturunkan selepas beberapa lama," tegas beliau.
Beliau berkata, kereta Proton baharu akan juga ditambah baik dari segi kualiti pengendalian dan pemanduan.

Dr Mahathir berkata Proton Preve ialah usaha terbaik oleh Proton setakat ini untuk menunjukkan bahawa ia mempunyai standard automotif antarabangsanya.

"Ada banyak lagi yang akan dilakukan. Saya diberikan taklimat hampir setiap minggu oleh pengurusan Proton, dan sejauh ini, saya rasa ia mempunyai hala tuju pertumbuhan yang jelas.

"Mereka telah mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik, diperbetul, malah juga yang perlu dihapuskan. Mereka tahu apa yang mereka lakukan," kata Dr Mahathir.

DRB-Hicom membeli 42.7 peratus kepentingan dalam Proton daripada Khazanah Nasional Bhd dengan harga RM1.29 bilion pada Januari tahun ini.

Program pemulihan perniagaan bagi Proton juga dalam perancangan dan dijadualkan diumumkan menjelang Mac tahun depan. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment