My Add

Tuesday 11 December 2012

Penglibatan antarabangsa ATM terus dicontohi dunia

KUALA LUMPUR, ISNIN, 10 Disember,  2012: Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelbagai misi di pentas antarabangsa terus mendapat pujian pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain dicontohi negara-negara luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengambil contoh penyertaan ATM dalam misi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Malcon ISAF) di Afghanistan, pasukan tersebut kini mendapat permintaan PBB untuk terus berada di negara tersebut terutama dalam memperbesarkan kemudahan perubatan tahap dua.

Menurutnya, perkara itu berikutan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan doktor dan pembantu perubatan wanita di negara bergolak tersebut khususnya di kawasan Bamiyan.

"Pasukan itu juga berjaya mencatat rekod apabila kadar kematian bayi dan wanita bersalin berada pada tahap sifar. Kita sudah menerima surat pujian daripada Kementerian Pertahanan Afghanistan dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan mereka mahu kita memperbesarkan kemudahan perubatan.

"Begitu juga dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengiringi kapal-kapal dagang di Teluk Aden, Somalia. Sejak operasi dan lanun-lanun Somalia ditahan, tiada sebuah pun kapal-kapal dagang Malaysia diserang lanun. Ini menjadi ikutan tentera-tentera asing," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Malam Apresiasi Media Kementerian Pertahanan 2012 di Wisma Perwira, di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan mengekang aktiviti lanun di Selat Melaka menerusi kawalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi penguatkuasaan lain turut mencatat kejayaan memberangsangkan.

"Penggunaan helikopter Nuri akan kita pertingkatkan kemampuannya. Dengan penerimaan helikopter baharu baru-baru ini, Nuri akan terus digunakan untuk membantu negara-negara yang kekurangan perbelanjaan pertahanan dengan dijual pada harga berpatutan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Kementerian Pertahanan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan melancarkan 1Malaysia Veteran Recognition Programme (1MVRP) di bawah Strategi Laut Biru Kebangsaan pada 15 Disember ini.

Katanya, majlis itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebanyak tujuh inisiatif akan diperkenalkan antaranya 1Malaysia Veterans Home Repair; 1Malaysia Veterans Access Point; Veteran Hiring Programme dan Entrepreneurship Support," katanya . UTUSAN

No comments:

Post a Comment