My Add

Tuesday 11 December 2012

Penjawat awam perlu ada misi jelas - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 10 Disember, 2012: Penjawat awam terutama pegawai baharu bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) perlu mempunyai misi jelas bagi mengekalkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, penggemblengan tenaga kerja seluruh penjawat awam itu diperlukan dalam usaha memastikan program-program pembangunan yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.

Tambah beliau, sebagai teras kepimpinan negara, setiap penjawat awam perlu lebih profesional serta menggunakan pendekatan terbaik ketika menjalankan sebarang urusan membabitkan rakyat.

“Penjawat awam juga perlu sentiasa bersedia menyahut cabaran melontarkan idea dalam sesuatu perkara bagi meningkatkan imej, kualiti, produktiviti dan keupayaan mereka," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Ceramah Perdana Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), di sini hari ini.

Sebanyak 296 peserta menyertai kursus DPA itu bagi tujuan pengesahan jawatan.

Dalam majlis itu, Abdullah turut menyampaikan sumbangan daripada pasukan sukarelawan Intan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berjumlah RM41,037.25 kepada tabung kemanusiaan Palestin kendalian Aqsa Syarif kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif Berhad, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

Mengulas pujian Duta Khas Palestin ke Malaysia, Abdul Aziz Abughoush berhubung semangat kesatuan rakyat negara ini dalam membantu warga Palestin, Abdullah berkata, sokongan konsisten tersebut wajar diteruskan setiap lapisan masyarakat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment