My Add

Wednesday 19 December 2012

Penjawat awam perlu beri penerangan isu semasa

 *MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan penduduk pada majlis Sepetang Bersama
 Pemimpin di Dataran Sungai Rengit ketika mengadakan lawatan ke Pengerang, 
Johor semalam.

JOHOR BAHRU, SELASA, 18 Disember, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penjawat awam memahami dan menerangkan isu-isu semasa serta pandangan kerajaan tentang perkara yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang merupakan komponen penting dalam menentukan wawasan dan perancangan sosio-ekonomi negara perlu menyebarkan informasi yang betul terutamanya projek-projek mega yang membawa manfaat kepada rakyat.

"Sebagai contoh, Projek Petrolium Bersepadu Pengerang (PIPC) yang membawa banyak manfaat kepada rakyat Johor dengan melibatkan pelaburan sebanyak RM170 bilion berpotensi menyediakan lebih 12,500 peluang pekerjaan serta membawa limpahan ekonomi terhadap sektor lain termasuk makanan, pakaian dan hartanah perlu dijelaskan.

"Warga perkhidmatan awam perlu turut memaklumkan kepada rakyat dan pengundi di Johor bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menyediakan pelbagai kemudahan dan program membantu serta meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya dalam amanat pada Majlis Perjumpaan dengan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Johor di Pusat Islam, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Obet Tawel.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menjelang pilihan raya umum akan datang, 'kilang-kilang fitnah' kini begitu rancak dan beroperasi 24 jam dengan memburuk-burukkan kepimpinan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Setelah kita berjaya mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, Perdana Menteri yang mempelopori program transformasi sebenarnya telah melakukan anjakan berganda dengan meletakkan negara berada pada landasan yang betul sehingga berjaya meraih banyak kejayaan dalam bidang sosio-ekonomi.

"Jadi, asas-asas yang diletakkan oleh para pemimpin terdahulu dan Perdana Menteri sekarang tidak perlu ditukar, cuma kalau ada kelemahan kita perbaiki, saya yakin jika momentum ini dapat diteruskan dengan peranan besar yang dimainkan para penjawat awam, negara akan terus mencapai banyak kejayaan seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020," katanya.

Muhyiddin berkata, cabaran yang perlu dihadapi oleh penjawat awam ialah mempertahan dan mempertingkatkan serta mencatat kejayaan lebih tinggi dan sentiasa berdaya saing dalam apa juga keadaan.

Dalam pada itu, beliau menyeru penjawat awam supaya menjadi pemudah cara dengan membantu pihak swasta kerana sektor itu merupakan pemacu dan penjana pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment