My Add

Tuesday 11 December 2012

Penyampai 2Day FM kesal

*MICHAEL Christian (kiri) dan Mel Greig ditemu bual oleh Tracy Grimshaw daripada Channel Nine Network kelihatan sugul dan bersedih mendengar berita kematian jururawat, Jacintha Saldanha (gambar kecil). - AFP

SYDNEY, ISNIN, 10 Disember, 2012: Dua penyampai radio Australia yang membuat panggilan palsu ke sebuah hospital di London yang merawat isteri Putera William, Kate Middleton, menangis ketika membuat permohonan maaf kepada keluarga jururawat yang ditemui mati ekoran kejadian itu.

Mel Greig dan Michael Christian, penyampai di stesen 2Day FM, yang bersembunyi dan menjalani kaunseling ekoran laporan jururawat, Jacintha Saldanha membunuh diri selepas insiden itu, membuat permohonan maaf tersebut dalam temu bual dengan beberapa stesen televisyen.

Greig yang kelihatan sedih berkata, dia terkejut dan tidak percaya jururawat kelahiran India itu ditemui mati.

''Saya masih teringat apa yang berlaku kerana saya tidak boleh berhenti mengenang peristiwa itu sejak kejadian itu berlaku,'' katanya kepada rancangan televisyen Australia, Seven Network.

Penyampai radio itu berkata, dia ingin memeluk setiap ahli keluarga jururawat tersebut dan meminta maaf kepada mereka atas apa yang berlaku.

Greig dan Christian menyamar sebagai Ratu Elizabeth II dan Putera Charles ketika menghubungi Hospital King Edward VII di London dan panggilan itu dijawab oleh Saldanha, 46 tahun.

Ekoran ketiadaan penyambut tetamu pada awal pagi, Saldanha menyerahkan panggilan itu kepada seorang rakannya yang memberikan maklumat mengenai keadaan Middleton yang sedang hamil.

Christian berkata, dia juga merasa sedih, kecewa dan tidak percaya dengan apa yang telah berlaku.

''Panggilan itu sepatutnya mudah dan tidak menimbulkan sebarang bahaya. Ia hanya untuk keseronokan sahaja.

''Kami berharap keluarga dan rakannya berada dalam keadaan sihat dan baik,'' katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment