My Add

Thursday 20 December 2012

Penyebaran berita palsu undang ancaman kepada negara: Muhyiddin

SINTOK, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Penyebaran berita palsu mengenai rusuhan kaum di Sungai Petani baru-baru ini boleh mengundang ancaman kepada negara jika tidak dibendung, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbuatan menyebarkan berita palsu seumpama itu melalui laman sosial menyebabkan rakyat merasa takut dan bimbang.

Kejadian sebenar adalah kes pergaduhan yang dibesar-besarkan, katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 4,000 penjawat awam Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.

"Apabila ada insiden berlaku diterjemahkan seolah-olah ada pertembungan adalah amat tidak bertanggungjawab," katanya.

Baru-baru ini, tersebar berita mengenai rusuhan kaum dalam laman-laman sosial sehingga menimbulkan keresahan awam dan polis turut menafikan berita palsu itu.

"Saya tak tahu sama ada pihak polis nak menyusul siapakah yang telah menyebarkan hal-hal (rusuhan kaum) dalam blog, tweet dan fb (Facebook), tapi kita tak boleh biarkan hal begini dilakukan," katanya.

Setakat ini, polis dilaporkan menahan 36 orang berumur antara 18 dan 30-an sehingga jam 4.30 pagi ini yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan. 

Mengulas kegiatan penebangan balak secara berleluasa di Kedah sehingga mengancam alam sekitar, Muhyiddin berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan Kedah hanya sebuah negeri berpendapatan kecil.

"Saya tahu sesetengah kerajaan negeri buka kawasan pembalakan tapi kayu balak itu saiznya kecil dan tidak patut ditebang," katanya dan menurutnya kawasan hutan dan kawasan tadahan patut dikekalkan bagi mengelakkan kesan buruk seperti hakisan dan banjir.

Mengenai pertemuannya dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kedah sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bertujuan mendapat gambaran mengenai persiapan BN Kedah menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau sudah memberi tempoh sebulan lagi untuk BN Kedah mengemas kini keadaan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang wajar diberi tumpuan dalam usaha mengembalikan Kedah kepada BN.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis perjumpaan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan pusat sentiasa bersikap adil dalam menjaga kepentingan rakyat termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kedah.

Sebagai contoh, katanya, sebanyak 602 projek bernilai RM4.3 bilion disenaraikan di Kedah bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 termasuk infrastruktur awam dan program ekonomi dan sosial.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia kini berada dalam landasan ekonomi yang kukuh ketika banyak negara termasuk negara maju sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia telah meletakkan Malaysia pada tangga ke-10 di dunia pada tahun ini berbanding tangga ke-21 pada 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment