My Add

Thursday 13 December 2012

Perpaduan komponen BN jamin kemakmuran

KUALA LUMPUR, RABU, 12 Disember, 2012: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mengibaratkan Barisan Nasional (BN) seperti sekawan burung yang terbang bersama kerana perpaduan yang kukuh dalam kalangan parti komponennya ke arah membangunkan dan mensejahterakan negara.

Menurut beliau, kerjasama erat antara parti-parti komponen BN itu tidak dimiliki pakatan pembangkang sekali gus menjadi kelebihan yang menjamin kemakmuran dan keamanan sejak negara merdeka.

"Dalam tempoh tiga tahun ini juga telah terbukti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang berkesan, jadi berilah beliau peluang meneruskan kepimpinan untuk lima tahun lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

Beliau berucap dalam Ceramah Perdana Gempur Puak Songsang dan Petualang di Taman Lembah Keramat di sini, semalam.

Majlis ceramah yang dihadiri Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya itu turut menggerakkan tabung bantuan guaman membela akhbar Utusan Malaysia yang disaman Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama.

Pada masa sama, Ibrahim menyelar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP kerana tidak pernah menghormati kedudukan agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

"Pas pula saya nak kata cerdik tidak, bodoh pun tidak, saya ibarat Pas ini ayam serama sebab ayam serama ini cantik dan kecil, tetapi nak sembelih tak boleh, nak buat lawan pun tak boleh, cuma boleh tengok cantik sahaja, seperti Pas dengan jubah dan ketayapnya," katanya.

Sementara itu, Penasihat Agama kepada Menteri Besar Terengganu, Mohd. Kamal Saidin berkata, perjuangan UMNO menepati ciri-ciri beriman dan beramal soleh kerana berjaya memerdekakan negara, memberi peluang pendidikan bagi mengeluarkan masyarakat daripada kejahilan serta mengamankan dan memakmurkan negara.

Tegas beliau, UMNO tidak pernah mendabik dada bercakap tentang Islam namun gigih melaksanakan syiar dan syariat Islam bagi memakmurkan Malaysia.

"Kita buat Putrajaya itu syiar, urusan pentadbiran negara itu syariat, kita buat masjid itu syiar, sembahyang di masjid itu syariat, kita buat sekolah itu syiar, menuntut ilmu itu syariat, malah bila sebut syiar, buat jalan pun dikira syiar kerana memakmurkan negara dan orang Pas pun boleh guna," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment