My Add

Friday 21 December 2012

Persiapan perkahwinan musnah dalam kebakaran di Kampung Pandan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang dikongsi mereka musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan di Kampung Pandan Dalam, Ampang di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu turut memusnahkan sebuah lagi rumah yang tidak berpenghuni.

Mangsa, Erma Usman, 23, yang tinggal bersama neneknya berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari kebakaran itu apabila dikejutkan jiran yang mengetuk pintu rumahnya.

"Saya nampak api marak di bahagian dapur. Saya hanya sempat mengambil kad pengenalan sebelum lari keluar rumah dan terus menghubungi pihak bomba," katanya dalam nada sedih kerana persiapan perkahwinannya yang dijadual berlangsung tahun depan musnah dijilat api.

Erma yang melangsungkan pertunangan November lalu bagaimanapun bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri, sambil berkata beliau mengalami anggaran kerugian RM40,000.

Neneknya tiada di rumah ketika kebakaran itu yang turut menjejaskan enam individu daripada dua keluarga lain.

Sementara itu, Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Mohd Nizam Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.15 pagi dan tiba di lokasi kebakaran tiga minit kemudian.
Lima jentera bomba dengan 51 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Cheras, Hang Tuah, Sungai Besi dan Ampang terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

Beliau berkata, nilai kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment