My Add

Thursday 6 December 2012

PETRONAS dialu-alukan ke Mindanao: MILF

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 05 Disember, 201: Syarikat minyak kebangsaan, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dialu-alukan untuk kembali meneroka deposit minyak dan gas yang terdapat di Mindanao, sebaik saja isu pemilikan sumber asli, yang kini dibincangkan antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina, diselesaikan.

Pengerusi MILF, Al-Haj Murad Ebrahim berkata, PETRONAS adalah salah satu syarikat minyak dan gas yang ditimbangkan oleh MILF, sebaik saja Mindanao bersedia menggunakan sumber hidrokarbonnya.

Beliau berkata, PETRONAS sudah mengukuhkan kedudukannya di wilayah Mindanao itu beberapa tahun lalu, melaksanakan kerja penerokaan peringkat awal di sana.

PETRONAS menjalinkan kerjasama dengan Philippines National Oil Company (PNOC) untuk mencari deposit minyak dan gas di beberapa blok berpotensi di negara itu, tanpa mencapai kejayaan ketara setakat ini.

Murad Ebrahim, ketua kumpulan bersenjata terbesar Filipina, berada di Johor Bahru untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia ke-8 (WIEF).

MILF dan kerajaan Filipina baru-baru ini memeterai Rangka Kerja Perjanjian yang bersejarah tentang Bangsamoro, mengakhiri konflik berpanjangan antara kedua-dua belah pihak.

Murad berkata, minyak dan gas adalah salah satu sumber asli yang ingin diteroka atas sebab-sebab ekonomi, untuk meningkatkan status ekonomi Bangsamoro.
"Bagi pihak kerajaan, mereka nampak bersetuju untuk pemilikan sumber asli diberikan kepada Bangsamoro, tetapi mereka mahu mengecualikan minyak dan gas asli. Tetapi, ia masih dalam peringkat rundingan," katanya.

Sungguhpun begitu, Murad menjangka Bangsamoro untuk mengawal sumber asli kawasan itu.

Selain minyak dan gas, wilayah Mindanao juga kaya dengan mineral bernilai tinggi lain yang belum diteroka seperti emas, tembaga, besi, dan nikel. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment