My Add

Tuesday 11 December 2012

PM beri kata-kata semangat kepada sukarelawan KP1M di Gaza

GAZA, ISNIN, 10 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi kata-kata semangat kepada anggota sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan mengingatkan mereka supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas semasa berada di negara konflik itu.

Presiden KP1M dan kapten misi, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kata-kata semangat itu dimaklumkan kepada beliau melalui perbualan telefon 10 minitnya dengan Perdana Menteri pada Ahad.

Selain bertanyakan khabar, Abdul Azeez berkata, Najib yang yakin dengan kebolehan semua 58 anggota sukarelawan, turut mahu mereka menjalankan khidmat dengan terpuji.

"Datuk Seri juga mahu semua kumpulan misi yang berada di Palestin untuk saling membantu satu sama lain dan memastikan bantuan turut sampai kepada semua rakyat Malaysia yang berada di sini," katanya semasa menyampaikan pesanan Najib yang menghubungi beliau bagi mengetahui perkembangan kumpulan misi.

Beliau memaklumkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga turut mendoakan keselamatan anggota sukarelawan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Abdul Azeez berkata, perbualan telefon dan pesanan SMS itu memberi semangat tinggi kepada semua anggota sukarelawan.

Mengulas tindakan Israel yang melepaskan tembakan amaran terhadap sukarelawan Misi Solidariti Malaysia 2012, Abdul Azeez berkata, kumpulan misi pada kali ini akan memberi fokus sepenuhnya kepada objektif misi dan mengelak tempat yang berisiko tinggi. 

"Selain membekalkan baju kalis peluru, kita dari semasa ke semasa mengingatkan anggota sukarelawan supaya lebih sedar tentang risiko daripada pihak zionis ini," katanya.

Pada Ahad, akhbar melaporkan kumpulan sukarelawan Misi Solidariti Malaysia 2012 yang dalam perjalanan menyampaikan dana Aman Palestin bagi pembangunan pertanian berdekatan Jabaliah kira-kira 3.5 kilometer dari Gaza diberi tembakan amaran oleh pihak Israel.

Kumpulan misi kemanusiaan 'Gelombang Kedua' anjuran KP1M dan Gerakan Belia 1Malaysia hari ini memasuki hari ketiga dalam misi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment