My Add

Wednesday 12 December 2012

PM lancar 7 inisiatif bantu pesara tentera Sabtu ini

 *DR Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama murid cemerlang sempena Majlis
 Anugerah Kecemerlangan UPSR Peringkat Parlimen Bagan Datoh di Dewan
 Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat, Selekoh, Bagan Datoh, Perak, semalam.
 - BERNAMA

BAGAN DATOH, SELASA, 11 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan tujuh produk teras bagi memperkasakan bekas tentera sempena perasmian Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar, Sabtu ini.

Pelancaran tujuh produk tersebut adalah antara inisiatif terbaharu kerajaan melalui pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi membela nasib pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 300,000 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 234,500 veteran tidak berpencen di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu antara lain merangkumi bantuan melonjak usahawan bekas tentera, pemberian kad 1Malaysia Privilege, kemudahan rawatan, bantuan kerjaya kedua serta mewujudkan usahawan baru pesara tentera.

''Butiran mengenai produk-produk ini akan diperincikan sendiri oleh Perdana Menteri dalam pelancaran itu nanti. Apa yang penting, inisiatif ini melambangkan keprihatinan beliau selaku bekas Menteri Pertahanan selama 14 tahun," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 Peringkat Parlimen Bagan Datoh di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai inisiatif kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam membantu pesara tentera mendapat perhatian negara-negara maju yang berhasrat mengambil langkah sama.

''Saya bertemu dengan rakan-rakan sejawatan di negara-negara maju dan rantau Asia yang memuji bagaimana kita peka terhadap bekas tentera dengan memberi banyak bantuan kepada mereka," katanya.

Ahmad Zahid memberitahu, di Amerika Syarikat misalnya, pesara tentera hanya diberi gratuiti selepas tamat perkhidmatan dan hanya menerima kemudahan rawatan ketika berkhidmat.

Keadaan itu katanya, berbeza di Malaysia apabila pesara tentera bukan sahaja menikmati pelbagai kemudahan termasuk perubatan, malah keluarga termasuk anak-anak mereka dibantu untuk berjaya dalam pelajaran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment