My Add

Saturday 8 December 2012

Polis patahkan cubaan seludup 55kg ketum

KANGAR, SABTU, 08 Disember, 2012: Polis mematahkan cubaan menyeludup 55 kilogram daun ketum ke negara jiran selepas menahan seorang lelaki warga Thailand di Jalan Sekolah Derma, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Perlis, SAC Zul Aznam Haron berkata berdasarkan maklumat, polis menahan lelaki yang mencurigakan ketika memandu sebuah kenderaan yang berdaftar di negara asal pada pukul 7.30 malam.

Hasil pemeriksaan rapi ke atas kenderaan yang sedang menghala Jalan Kaki Bukit itu, polis menemui 768 bungkusan kecil berisi daun hijau dipercayai daun ketum yang disembunyikan dalam kenderaan itu, katanya di pejabatnya semalam.

Zull Aznam berkata lelaki berusia 40an dari wilayah Yala, selatan Thailand, ditahan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau keduanya sekali.

Menurutnya, polis menganggarkan nilai rampasan sebanyak RM600 namun menurutnya harga daun itu di pasaran Thailand adalah berlipat kali ganda.

Beliau berkata, antara Januari dan November tahun ini, sebanyak 199 kes membabitkan daun ketum direkodkan di negeri ini dan menunjukkan peningkatan sebanyak 46 kes berbanding 153 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Daun ketum berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi bahan mengkhayalkan ”mitraginin” yang disenaraikan sebagai racun dan bahan psikotropik dalam Akta Racun 1952.

Pada 2003, kerajaan mengisyitharkan daun ketum sebagai bahan larangan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment