My Add

Tuesday 18 December 2012

Projek terbengkalai dipulihkan

KUALA LUMPUR, ISNIN 17 Disember, 2012: Sebanyak 118 projek perumahan swasta terbengkalai daripada 178 projek yang berada di seluruh negara dijangka dapat disiapkan sehingga 31 Disember ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, ketika ini, 113 projek telah berjaya disiapkan dan masih ada lima lagi sedang dalam proses pemulihan serta dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

“Untuk pengetahuan, projek perumahan swasta terbengkalai ini berlaku ketika negara dilanda krisis ekonomi pada 1997. Bagaimanapun, pengawasan rapi yang dilakukan kerajaan selepas 2007 mendapati projek perumahan terbengkalai swasta berada pada tahap paling rendah.

“Seperti yang dimaklumkan, 113 projek telah siap dipulihkan manakala lima lagi dijangka siap dalam masa terdekat, 50 sedang dalam pelbagai peringkat pemulihan dan baki 10 lagi dalam perancangan awal pemulihan," katanya dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Baharudin Abu Bakar yang ingin tahu jumlah sebenar projek perumahan terbengkalai di seluruh negara setakat ini dan sejauh mana pihak kementerian berjaya menangani masalah itu.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Baharudin tentang konsep ‘bina dahulu baharu beli’, Chee Heung memberitahu, dasar tersebut hanya akan bermula pada 2015.

Katanya, kerajaan tidak mahu tergesa-gesa melaksanakannya dan perlu berbincang secara mendalam dengan pelbagai pihak berkepentingan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment