My Add

Wednesday 12 December 2012

Proton ambil alih aset dan teknologi PTVSB

Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: 11 Dis. - Proton Holdings Bhd. (Proton) melalui anak syarikat milik penuhnya, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) mengambil alih teknologi, aset dan pengetahuan daripada Petronas Technology Ventures Sdn. Bhd. (PTVSB) dengan nilai RM63 juta.

Pengambilalihan itu melibatkan enjin beraspirasi semulajadi dan juga enjin turbo 2.0 liter serta 2.2 liter yang telah dibangunkan Petronas sejak 1997.

Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil berkata, pengambilalihan itu akan mempelbagaikan lagi varian model-model enjin yang dimiliki Proton pada waktu ini, selain CamPro.

Katanya, pihaknya akan mempertimbangkan untuk menggunakan enjin-enjin tersebut bagi model-model baharu Proton atau model-model sedia ada seperti Proton Exora dan Proton Preve.

Jelasnya, Proton mungkin menggunakan enjin-enjin tersebut bagi keluaran model sedia ada atau baharu pada suku ketiga tahun depan.

"Kami mungkin memikirkan untuk menggunakan enjin-enjin turbo 2.0 liter dan 2.2 liter dari PTVSB bagi kenderaan Proton yang lebih besar berikutan keupayaannya enjinnya yang lebih baik, lebih ringan, jimat minyak dan mesra alam.

"Enjin-enjin tersebut juga boleh digunakan untuk kenderaan Lotus,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian di antara PONSB dan PTVSB di sini hari ini.

PTVSB merupakan cabang pengkomersialan teknologi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Yang turut hadir pada majlis itu adalah bekas Perdana Menteri yang juga penasihat Proton dan Petronas, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perjanjian itu bagi mengambilalih aset-aset dan teknologi PTVSB oleh PONSB. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment