My Add

Tuesday 25 December 2012

Raja Nazrin beri penghormatan terakhir kepada Keng Yaik

 *RAJA Dr. Nazrin Shah mendengar penerangan daripada Lim Si Pin (dua, kanan) ketika mencemar duli menziarahi mendiang Dr. Lim Keng Yaik di kediamannya di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Tuanku Zara Salim dan Dr. Koh Tsu Koon (kiri). - BERNAMA

PETALING JAYA, ISNIN, 24 Disember, 2012: Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini berangkat memberi penghormatan terakhir kepada bekas presiden parti Gerakan, mendiang Tun Dr. Lim Keng Yaik.

Baginda yang tiba bersama isteri, Tuanku Zara Salim kira-kira pukul 3 petang meluangkan masa kira-kira 20 minit dan berbual bersama anak mendiang yang juga Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Lim Si Pin di kediaman mendiang di Damansara, di sini.

Sebelum itu, ketibaan baginda dan isteri disambut Presiden Gerakan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Dr. Lim yang merupakan menteri Kabinet selama 22 tahun, menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarganya di bilik tidurnya kira-kira pukul 5.13 petang Sabtu pada usia 73 tahun.

Beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi dari 2004 hingga 2008 meninggalkan isteri Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak.

Mayatnya akan dibakar di Krematorium Cheras pada Rabu selepas diberi penghormatan negara.

Tsu Koon yang kemudiannya ditemui pemberita berkata orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada mendiang boleh berbuat demikian esok mulai pukul 10 pagi dan Rabu seawal 8.30 pagi.

"Hari untuk memberi penghormatan terakhir akan bermula pada 9 pagi Rabu dan diteruskan sehingga 10.30 pagi, termasuk ucapan eulogi yang disampaikan oleh anak lelakinya.

"Mulai 10.30 pagi, protokol dari Jabatan Perdana Menteri akan mengambil alih untuk mengendalikan upacara penghormatan negara," katanya.

Seterusnya, Tsu Koon memaklumkan mayat mendiang akan diarak melalui menara PGRM di Cheras sebelum dibawa terus ke Krematorium Cheras.

Terdahulu, antara kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Selain itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Presiden Persatuan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, bekas presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment