My Add

Friday 21 December 2012

Rali kereta ASEAN-India diberi sambutan rasmi pemimpin India, ASEAN

NEW DELHI, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Rali Kereta ASEAN-India yang bermula dari Yogyakarta, Indonesia pada 26 November, dengan upacara pelepasan rasmi di Singapura, diberikan sambutan rasmi di kalangan pemimpin India dan ASEAN di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah antara pemimpin yang hadir pada majlis itu yang berlangsung di depan bangunan Vigyan Bhawan, di Jalan Maulanan Azad di sini.

Rali itu disertai 31 kereta dan 116 peserta dari 11 negara yang merentasi lapan daripada 10 negara ASEAN, meliputi jarak 8,000 kilometer sebelum mengakhiri perjalanan di New Delhi, India.

Mereka tiba di Guwahati, Assam pada Isnin, destinasi terakhir rali itu selepas perjalanan selama 22 hari.

Najib dalam ucapannya pada sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India 2012 semalam, berkata rali itu adalah contoh baik dalam usaha mengeratkan
hubungan antara rakyat dengan rakyat. 

Beliau percaya dalam tempoh terdekat pendekatan seumpama itu tidak lagi sesuatu
yang luar biasa tetapi akan menjadi satu kebiasaan antara rakyat negara ASEAN
dan India.

Sidang kemuncak itu yang diadakan bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-20
Hubungan Dailog ASEAN-India berakhir hari ini dengan upacara sambutan rasmi
peserta rali itu dan majlis makan tengah hari perpisahan yang dihoskan oleh
Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh.

Dalam Pernyataan Visi yang diterima pakai pada sidang kemuncak itu pada
Khamis, ASEAN dan India komited untuk membantu dalam menyiapkan projek lebuh raya merentasi tiga negara iaitu India-Myanmar-Thailand dan disambung ke Laos dan Kemboja dan projek lebuh raya baharu menghubungkan India-Myanmar-Laos-Vietnam-Kemboja. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment