My Add

Monday 10 December 2012

RM17.5 juta tampung diskaun pengguna feri

KUALA LUMPUR, 09 Disember, 2012: Kerajaan memperuntukkan RM17.5 juta bagi menampung diskaun 50 peratus kepada pengguna feri dan pengendali pengangkutan di Labuan, mulai bulan depan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Perbadanan Labuan untuk diagihkan kepada 10 syarikat pengusaha bot laju serta feri di wilayah berkenaan.

Katanya, langkah itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup serta pengangkutan rakyat di Labuan selain memastikan pengguna dapat menikmati kemudahan perjalanan ke Kota Kinabalu, Lawas, Limbang dan Menumbok di Sabah.

“Diskaun ini akan mula dilaksanakan 1 Januari ini dan kita akan kaji keberkesanannya setiap tiga bulan bagi memastikan insentif itu mampu membantu kehidupan penduduk dan meningkatkan taraf ekonomi di Labuan selain menurunkan harga barangan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Marhaban 2012 dan majlis perjumpaan bersama ibu tunggal anjuran penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam, di sini semalam.

Pengusaha feri yang bakal mendapat peruntukan berkenaan adalah Double Power Sdn Bhd, Ratu Pertama Limbang, Syarikat Lim Pertama, RL Express Sdn Bhd, Isro Shipping, Jula Bonus Development Sdn Bhd, Labuan Ferry Corporation dan Labuan Main Land Link.

Diskaun 50 peratus kepada pengguna feri yang berulang alik dari Labuan ke Sabah dan Sarawak itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2013, September lalu. -BH

No comments:

Post a Comment