My Add

Sunday 16 December 2012

RM2.3 juta untuk program belia di Pulau Pinang: Nor Yakcop

BUTTERWORTH, AHAD, 16 Disember, 2012:: Sebanyak RM2.3 juta telah diperuntukan untuk program pembangunan belia di Pulau Pinang sejak tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, pelbagai program telah dianjurkan
bagi mendekati, membimbing dan mendengar suara golongan tersebut serta memandu hala tuju mereka menerusi pelbagai aktiviti di samping menyediakan maklumat tentang peluang pendidikan, perniagaan dan kerjaya yang dilakukan secara berterusan.

"Diharapkan golongan belia akan terus bergerak lebih pantas bagi merebut
peluang bagi memajukan diri dalam pelbagai bidang terutama pendidikan.

"Selain itu, matlamat kita menganjurkan program untuk belia adalah
untuk mencungkil bakat dan potensi mereka terutama dalam aspek kepimpinan, kerjasama serta daya saing," katanya ketika merasmikan Program Pemantapan Sukan Belia di Pantai Robina di sini, hari ini.

Program anjuran Focus Group Bumiputera itu turut menyediakan ruang untuk
golongan belia berniaga dan mempromosi pelbagai produk yang dihasilkan selain
sebagai platform menimba pengalaman dan menonjolkan bakat kepimpinan mereka.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang dapat dinilai menerusi golongan belia kerana mereka merupakan generasi yang bakal mengambil alih pentadbiran negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, perhatian dan sokongan kepada golongan itu
amat penting dan tidak seharusnya dipikul oleh pihak tertentu saja,
sebaliknya merupakan tanggungjawab semua pihak termasuk masyarakat serta ibu
bapa dalam menetapkan acuan terbaik bagi anak-anak mereka sejak awal.

"Ketika usia masih muda inilah masa yang paling sesuai untuk merancang
kehidupan, kerana banyak peluang dan ruang yang terhidang selari dengan hasrat
kerajaan yang mahu melihat belia maju dalam pelbagai bidang.

"Golongan belia tidak seharusnya membiarkan peluang berlalu begitu saja
kerana tindakan sedemikian mengkhianati kerajaan yang menyediakan peruntukan
besar setiap tahun," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment