My Add

Saturday 15 December 2012

RM27.5j bina makmal halal

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR


 *JAMIL Khir Baharom bertanya sesuatu kepada Basiran Saban (kanan) mengenai 
lakaran bangunan Makmal Analisis Institut Halal Malaysia di Nilai, Seremban
, semalam.

SEREMBAN, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Projek pembinaan Makmal Analisis Institut Halal Malaysia di Bandar Enstek, Nilai dekat sini berupaya meningkatkan tahap keupayaan dalam memberi pengiktirafan status halal terhadap produk di peringkat tempatan mahupun global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, makmal bernilai RM27.5 juta itu yang merupakan fasa pertama pembinaannya di bawah projek pembangunan institut berkenaan dijangka siap menjelang Ogos 2014.

''Dalam tempoh tersebut, kita menjangkakan makmal ini sudah siap untuk kita jalankan ujian peralatan serta kesediaan sebelum beroperasi sepenuhnya menjelang 2015.

''Malah apabila ia beroperasi, peratusan pengambilan ujian sampel dapat dilonjakkan sehingga 100 peratus pada kadar 3,023 daripada 1,512," katanya pada Majlis Pecah Tanah Makmal Analisis di Bandar Enstek, Nilai di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Basiran Saban.

Menurutnya, kewujudan makmal tersebut juga secara tidak langsung diyakini dapat mempercepatkan tempoh proses permohonan sijil halal.

''Buat masa ini, Jakim menggunakan satu-satunya makmal di Petaling Jaya, Selangor bagi memproses sijil berkenaan.

''Dengan adanya makmal ini, kita mungkin berupaya untuk mempercepatkan tempoh permohonan sijil sedia ada yang memakan masa selama 30 hari," katanya.

Jamil Khir memberitahu, makmal itu juga akan membuka peluang perjawatan baru kepada tenaga kerja profesional tempatan.

''Sebanyak 78 perjawatan baru akan dibuka apabila makmal ini siap kelak dan buat masa ini kita menerima dan sedang memproses permohonan calon," katanya.

Projek pembinaan makmal berkenaan yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dibangunkan di atas tapak seluas 2.5 hektar iaitu merupakan sebahagian daripada pembinaan institut yang meliputi keluasan membabitkan tapak tanah seluas 18.4 hektar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment