My Add

Thursday 6 December 2012

RM311.8j zakat dikutip dalam 11 bulan - Jamil Khir

*SYEDAbdul Jabbar Syed Hassan (empat dari kanan) menyerahkan zakat perniagaan lebih RM4 juta kepada Jamil Khir Baharom (tengah) yang mewakili Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di Kuala Lumpur, semalam.

PUTRAJAYA, RABU, 05 Disember, 2012: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya mengutip zakat sebanyak RM311.8 juta dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah tersebut meningkat kira-kira 13 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM276.8 juta.

Beliau berkata, jumlah kutipan itu sejajar dengan pertambahan bilangan pembayar zakat untuk tempoh sama tahun ini iaitu 102,291 orang, meningkat 14 peratus berbanding 89,441 orang pada 2011.

''Pada tahun ini, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM360 juta dengan bilangan pembayar 108,500 orang.

''Saya yakin PPZ-MAIWP mampu mencapai sasaran itu kerana berdasarkan trend pembayaran zakat meningkat secara mendadak pada bulan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Kumpulan Tradewinds (M) Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tradewinds (M) Bhd., Datuk Syed Abdul Jabbar Syed Hassan.

Pada majlis itu, Kumpulan Tradewinds (M) Bhd. menyerahkan zakat perniagaan lebih RM4 juta kepada PZZ-MAIWP.

Bayaran bagi tahun perniagaan berakhir 31 Disember 2011 itu membabitkan Tradewinds (M) Bhd. (RM3.3 juta), Tradewinds Plantation Bhd. (RM835,580) dan Padiberas Nasional Bhd. (RM71,987).

Mengulas tentang kutipan zakat perniagaan, Jamil Khir berkata, dalam tempoh 11 bulan ini, sejumlah RM51.6 juta berjaya dikutip, meningkat 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM46.6 juta.

''Bilangan pembayar zakat perniagaan turut meningkat 13 peratus iaitu 1,369 orang berbanding 1,211 orang tahun lalu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment