My Add

Tuesday 25 December 2012

RM4.5 juta bantu 70 produksi

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 DisEMBER, 2012: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) hari ini mengagihkan insentif dana industri kreatif negara untuk program televisyen bernilai RM4.5 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada 70 syarikat produksi tempatan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pemberian insentif itu bertujuan membantu syarikat tersebut meningkatkan mutu rancangan televisyen yang dihasilkan di samping menambah peralatan produksi yang terkini.

Dana tersebut, katanya, mula diagihkan kepada 23 syarikat produksi pada 18 September lepas untuk kumpulan pertama bernilai RM1 juta dan kumpulan seterusnya diberi hari ini malah pemberian itu akan diteruskan pada tahun depan.

Beliau berkata, pelaburan menerusi industri kreatif itu dilihat mampu menjana pulangan yang memberangsangkan kerana pada tahun ini sahaja, industri tersebut menyumbang sebanyak RM400 juta kepada ekonomi negara.

"Dana ini merupakan projek kerajaan dalam terus membangunkan industri kreatif dan menjelang tahun 2020, industri tersebut disasar untuk menjana sebanyak RM3 bilion pendapatan negara," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Insentif Dana Industri Kreatif Negara (Program Televisyen) di Wisma Radio, Angkasapuri, di sini.

Kamaruddin berkata, selain menerbit program, setiap penerbit perlu memikirkan cara terbaik untuk memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa yang seterusnya meningkatkan imej program televisyen negara.

Beliau berkata, pemilihan syarikat produksi yang menerima sumbangan dana adalah berdasarkan penilaian dari segi kualiti penulisan skrip, penggunaan teknik canggih seperti Kesan Khas Komputer (CGI) dalam program, potensi program mendapat tajaan, "rating" dan beberapa kriteria lain.

"Saya amat berharap agar dana yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya syarikat produksi dan mereka (penerbit) boleh menggunakan dana itu memberi bonus kepada staf mereka sebagai memberi semangat untuk bekerja lebih keras," katanya sambil berseloroh. - BERNAMA - UTUSAN

No comments:

Post a Comment