My Add

Friday 14 December 2012

RM66.6 juta untuk bina kediaman Orang Asli pada 2012: Shafie Apdal

KUALA LIPIS, KHAMIS, 13 Disember, 2012:: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntuk sejumlah RM66.6 juta bagi membina kediaman serta penempatan semula perkampungan Orang Asli di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan 190 rumah baharu dan membaik pulih 82 rumah sedia ada termasuk kemudahan seperti jalan raya, bekalan air paip dan elektrik selain telekomunikasi.

"Peruntukan itu termasuk melaksanakan program di bawah program strategi Lautan Biru dengan membina 479 unit rumah baharu, dan 87 unit daripadanya sudah siap dibina iaitu 52 unit dibina oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek Pemajuan Kawasan Kampung Orang Asli Pantos hari ini.

Beliau berkata, pembinaan perkampungan Orang Asli Kampung Pantos terdiri daripada 173 unit rumah yang dilengkapi kemudahan fizikal, termasuk bekalan air dan elektrik, adalah bukti komitmen kerajaan untuk memajukan kehidupan masyarakat Orang Asli.

Mohd Shafie berkata, kerajaan membelanjakan RM15 juta bagi melaksanakan projek itu, termasuk menyediakan surau dan padang futsal serta kemudahan asas lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat Orang Asli perlu menguasai bidang pendidikan untuk mengubah nasib dan masa depan mereka.

Mohd Shafie juga berkata, segala tohmahan pembangkang kononnya kerajaan mengabaikan pembangunan masyarakat Orang Asli adalah tidak benar sama sekali.

"Taraf kehidupan Orang Asli kini jauh lebih baik jika dibandingkan pada masa lalu, yang bergantung hidup dengan hasil hutan, jadi tidak benarlah kita mengabaikan mereka seperti yang selalu didakwa pembangkang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment