My Add

Tuesday 11 December 2012

Rompak kapal tangki: 8 lelaki Indonesia ditahan

JOHOR BHARU, SELASA, 11 Disember, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya menahan lapan lelaki rakyat Indonesia yang sedang merompak sebuah kapal tangki di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, di sini awal hari ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian ke atas kapal MT Merlion 2 yang sedang berlabuh di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Stapa itu, pada pukul 2.30 pagi.

"Kesemua lelaki terbabit yang dipercayai dari Batam, Indonesia menggunakan sebuah bot kayu untuk menghampiri MT Merlion 2 yang sarat membawa muatan minyak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adon berkata, APMM Wilayah Selatan terus menugaskan bot Petir 11 bersama pasukan penyelamat dan tugas khas untuk mengepung kapal terbabit selepas menerima maklumat kejadian daripada ejen kapal tersebut.

Beliau berkata, sebuah kapal dan empat bot laju kemudian turut dihantar ke tempat kejadian bagi membantu kerja menyelamat.

Katanya, lapan perompak yang bersembunyi di anjungan dan kabin kapal kemudian berjaya ditahan kira-kira pukul 4.15 pagi.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment