My Add

Thursday 20 December 2012

ROS ada kuasa larang hubungan dengan pihak luar

KUALA LUMPUR, RABU, 19 Disember, 2012: Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana pertubuhan berdaftar daripada mempunyai kaitan, hubungan, komunikasi atau urusan-urusan lain sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan pihak-pihak lain di luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kuasa itu diperuntukkan kepada ROS di bawah perenggan 13A(1)(b) Akta Pertubuhan 1966.

Jelas beliau, larangan tersebut boleh dikuatkuasakan sekiranya ROS berpuas hati tentang keperluan untuk berbuat demikian demi kepentingan mana-mana pertubuhan berdaftar atau demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam.

''Menurut subseksyen 13A(7), mana-mana pertubuhan yang melanggar larangan oleh ROS itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Vui Keong menjawab soalan Datuk Chiw Tiang Chai tentang sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum bagi membendung sebarang anasir negatif daripada menyusup masuk ke negara ini dan meracuni pemikiran rakyat, termasuk cubaan menyalurkan dana dari luar negara kepada golongan berkepentingan.

Tambah beliau, selain Akta Pertubuhan 1966, pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Akta Syarikat 1965 untuk menjalankan pemantauan terhadap sumber dana asing.

''Di bawah Akta Syarikat 1965, sesebuah syarikat dikehendaki mengemukakan dokumen seperti akaun untung dan rugi, kunci kira-kira dan laporan pengarah untuk diaudit sebelum dikemukakan kepada Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

''Mana-mana pertubuhan atau syarikat hendaklah menyerahkan dokumen dan maklumat yang lengkap kepada SSM dan ROS bagi membolehkan kedua-dua agensi itu memantau dan melihat pergerakan aktiviti tahunan termasuk kemungkinan terdapat penyaluran dana asing," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Vui Keong, tiada pendakwaan boleh dibuat ke atas mana-mana syarikat atau pertubuhan yang menerima dana asing kerana tiada peruntukan di dalam kedua-dua akta tersebut yang menghalang kegiatan itu.

''Namun, pendakwaan boleh dilakukan terhadap pertubuhan haram iaitu pertubuhan yang beroperasi tanpa pendaftaran di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 sekiranya sabit kesalahan," jelasnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Ahamat Yusop berhubung keperluan institusi Parlimen diberi kuasa eksklusif untuk menghalang aktiviti menghina kepercayaan dan agama lain, kata Vui Keong, pada masa ini, tiada akta khusus bagi mengekang aktiviti tersebut.

Beliau menjelaskan, kesalahan-kesalahan berkaitan perbuatan menghina kepercayaan dan agama lain boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment