My Add

Monday 17 December 2012

Rukun Negara perlu kekal, jadi teras perpaduan rakyat pelbagai kaum

KUALA LUMPUR, AHAD, 16 Disember, 2012: Rukun Negara hendaklah terus menjadi agenda dalam pembangunan modal insan dari generasi ke generasi bagi memastikan prinsip itu kekal diterima dan menjadi teras perpaduan masyarakat di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, hal ini demikian kerana ideologi yang terkandung di dalam Rukun Negara amat holistik dan mencakupi nilai-nilai bersama yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

"Oleh itu, penerapan prinsip ini dalam diri generasi muda amat penting sekali untuk pembangunan sahsiah golongan tersebut," katanya ketika berucap dalam Majlis Bicara Tokoh Negara: Kolokium Sekretariat Rukun Negara anjuran Taylor's University, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Naib Canselor yang juga Presiden Taylor's University, Prof. Datuk Dr. Hassan Said, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Presiden Sekreteriat Rukun Negara Taylor's University, Fiqri Firdaus.

Abdullah berkata, bukan mudah bagi pemimpin terdahulu merangka prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara dan menyebarkannya kepada masyarakat kerana banyak cabaran yang terpaksa dilalui.

"Sebagai contoh, ketika zaman pelajar universiti hebat berdemonstrasi suatu ketika dahulu, saya ditugaskan untuk memperjelas dan menerangkan apa itu Rukun Negara dan matlamatnya, tetapi banyak rintangan yang saya terpaksa lalui,

"Saya masih ingat lagi ketika itu, apabila Rukun Negara dijadikan satu tajuk penting untuk disampaikan kepada pelajar, jadi saya bertanggungjawab untuk sampaikan betapa pentingnya bagi semua menghayati, memahami dan mengamalkannya. Tetapi dengan serta-merta saya mendapat reaksi negatif," katanya.

Malah, beliau berkata, ada antara pelajar ketika itu mempersoalkan kepentingan Rukun Negara yang dilihat seolah-olah mahu mengatasi rukun Islam dan rukun iman bagi orang Islam.

Bagaimanapun, katanya, beliau berjaya memperjelaskan kepada pelajar bahawa Rukun Negara sebenarnya diwujudkan bertujuan mengeratkan perpaduan antara kaum di negara ini dan tidak sama sekali bertujuan mengatasi rukun Islam dan rukun iman bagi orang Islam.

"Jadi saya berharap Rukun Negara ini dihayati oleh generasi muda hari ini. Usaha yang dilakukan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dalam menggerakkan Sekretariat Rukun Negara adalah satu usaha yang wajar diambil perhatian semua," katanya.

Sementara itu, Tsu Koon dalam sidang akhbar selepas itu berkata, sehingga kini Sekretariat Rukun Negara telah diwujudkan di 133 IPT sama ada awam mahupun swasta.

Katanya, sokongan padu IPT termasuk daripada pihak korporat amat dialu-alukan bagi menjadikan sekretariat itu sebagai aktiviti yang paling bermakna untuk golongan belia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment