My Add

Tuesday 18 December 2012

Rundingan Tahunan Kesembilan Malaysia-Indonesia tingkat keakraban

PUTRAJAYA, SELASA, 18 Disember, 2012:: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL petang ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Kesembilan Malaysia-Indonesia.

Isu utama yang mencuri tumpuan media ialah soal hubungan dua negara kebelakangan ini yang terarah kepada isu berkaitan pembantu rumah.

Pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini dijangka akan mengukuhkan lagi kesepakatan, terutama dalam 42 perkara yang dibincangkan kedua-dua pemimpin itu pada rundingan kelapan di Lombok, Indonesia tahun lalu.

Dianjur secara bergilir antara Malaysia dan Indonesia, rundingan itu adalah forum tertinggi dua hala dengan kedua-dua pemimpin membincangkan langkah ke arah mengukuhkan lagi hubungan menyeluruh dan strategik antara dua negara berjiran.

Yudhoyono dijadual menghadiri majlis perundingan di bilik mesyuarat Perdana, pejabat Perdana Menteri di sini, sebelum menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang kebajikan sosial dan pembangunan masyarakat, dan seterusnya mengadakan persidangan media bersama Najib, sebelum menghadiri majlis makan malam di Seri Perdana.

Dalam rundingan tahun lepas Presiden Indonesia itu dilaporkan berkata, ia adalah satu mesyuarat yang sangat produktif dan berlangsung dalam semangat kekeluargaan sehingga berjaya menemukan pelbagai penyelesaian bagi sejumlah masalah dua hala selain menimbulkan peluang baharu untuk kerjasama di masa depan.

Hubungan dagangan dua negara terus subur ketika ini dengan laporan Matrade menyebut bahawa dagangan dua hala Malaysia-Indonesia meningkat baik dari semasa ke semasa, dengan angkanya mencapai AS$14.74 bilion pada tahun 2010, AS$18.3 bilion tahun lalu, dan tahun ini dijangka mencecah AS$20 bilion.
Sementara itu isu pembantu rumah pula terus menjadi tumpuan media sejak beberapa hari menjelang ketibaan Yudhoyono, dengan soal kos pengambilan menjadi tajuk utama perbincangan, dan ada pihak yang mencadangkan supaya mekanisma 'orang tengah' dalam urusan pengambilan pembantu rumah dihapuskan.

Semalam, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahalan dilaporkan berkata, kos pengambilan pembantu rumah Indonesia dijangka meningkat memandangkan kos yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman tahun lalu tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.

Dalam kunjungan kali ini, Yudhoyono dijangka membangkitkan soal kebajikan warga Indonesia di Malaysia, berikutan kebimbangan Jakarta mengenai berita polis Malaysia menyelamatkan 105 pembantu rumah dari negara itu yang dipaksa bekerja tanpa gaji dan diberi layanan buruk, baru-baru ini.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment