My Add

Saturday 22 December 2012

Saluran bela nasib wanita - Shahrizat

Oleh HANIZA HASSAN 
 *SHAHRIZAT Abdul Jalil (tengah) bersalaman dengan sebahagian peserta 
Program Gagasan Aspirasi Wanita, di Johor Bahru, Johor, semalam. Turut 
kelihatan, Robia Kosai (kiri). - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Golongan wanita di negara ini digesa menggunakan sebaik mungkin saluran Program Gagasan Aspirasi Wanita yang disediakan oleh Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) dengan menyalurkan sebarang bentuk pandangan, harapan mahupun aspirasi masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, segala idea, pandangan atau permintaan bagi membela nasib mereka boleh disalurkan kepada ketua MPWK yang ada di setiap kawasan Parlimen atau pemimpin Wanita Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.

Menurutnya, mereka boleh memilih apa jua cara sama ada menggunakan aplikasi media sosial yang akan beroperasi mulai 1 Januari ini atau menulis surat kerana program pengumpulan suara hati wanita itu tidak memerlukan sebarang borang khusus untuk diisi.

"Wanita merupakan salah satu komponen dalam pembangunan negara. Tiada wanita maka sukarlah sesebuah negara untuk mengecapi pembangunan. Jadi, program sejuta suara itu salah satu simbolik sokongan wanita di negara ini kepada kerajaan.

"Program ini sudah dimulakan November lalu dan kita jangka dapat mengumpul semua harapan, cadangan, doa dan aspirasi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas Program Aspirasi Wanita anjuran MPWK Kebangsaan Zon Selatan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai dan Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Mohd. Zain.

Lebih 300 wanita yang mewakili MPWK Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menghadiri program sehari yang dipenuhi dengan dua slot ceramah dan perundingan imej.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, semua senarai aspirasi untuk membentuk Pelan Aspirasi Wanita yang bakal diwujudkan tidak lama lagi, diharap dapat membawa wanita Malaysia terus cemerlang dari semasa ke semasa.

"Kita harap dapat kumpul lebih daripada sejuta suara wanita di negara ini. Kita mahu wanita Malaysia diberi peluang untuk memajukan diri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment