My Add

Wednesday 19 December 2012

SAM rayu kerajaan Perak kaji semula pemilihan lokasi industri

GEORGETOWN, RABU, 19 Disember, 2012: Sahabat Alam Malaysia (SAM) merayu kerajaan Perak supaya mengkaji semula lokasi cadangan projek kilang besi dan keluli seluas 202.35 hektar dan loji membekal gas cecair asli (LNG) seluas 60 hektar di Tanjung Hantu dalam daerah Manjung.

Pegawai penyelidik SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, selain dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dan KSAS Tahap 2, kawasan Tanjung Hantu dan sekitarnya juga mempunyai nilai kepentingan awam.

"Kawasan Tanjung Hantu adalah hutan simpan dara (VJR) yang menjadi tumpuan ramai pengkaji membuat penyelidikan tentang biologi, di samping menjadi kawasan pendaratan penyu kerana pantainya yang bersih dan tiada pencemaran.

"Jika dibangunkan sebagai kawasan industri, akan hilanglah satu lagi destinasi tarikan pelancong. SAM tidak menolak pembangunan tetapi merayu kerajaan negeri mengkajinya semula dan carilah kawasan lain untuk pembangunan industri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Meor Razak berkata, SAM sudah menghantar tiga surat bantahan bertarikh 14 September, 3 Ogos dan 16 November lalu kepada kerajaan negeri Perak tetapi tidak menerima sebarang maklum balas, dan bercadang menghantar surat bantahan keempat dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, selain lebih berpotensi sebagai kawasan kajian dan pelancongan eko-impak rendah, Tanjung Hantu juga sangat penting kepada sektor perikanan terutama perikanan persisir pantai.

"SAM berharap kerajaan negeri memberi perhatian terhadap isu ini dan mewartakan kembali kawasan hutan yang telah dilucut-warta sebagai Hutan Simpan Tanjung Hantu," katanya.
Meor Razak berkata, pewartaan pemansuhan sebahagian hutan simpan itu bagi tujuan pembangunan kedua-dua jenis industri berkenaan dikeluarkan pada Oktober 2011, namun sehingga ke hari ini belum ada kerja pembersihan dilakukan di situ.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment