My Add

Tuesday 4 December 2012

Sasar turun jenayah syariah 50 peratus

 *JAMIL Khir Baharom (dua dari kanan) memasang pelekat Kempen Cegah Jenayah Syariah pada sebuah teksi sambil diperhatikan Che Mat Che Ali (tiga dari kiri), Othman Mustapha (dua dari kiri) dan Zakaria Shaffie (kiri) di Plaza Tol Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM Besi, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012: Kes jenayah syariah di Wilayah Persekutuan disasarkan menurun sehingga 50 peratus pada tahun depan melalui Kempen Cegah Jenayah Syariah yang dilancarkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sasaran itu boleh dicapai sekiranya masyarakat Islam dapat membudayakan amalan-amalan baik dalam kehidupan mereka, sekali gus menjauhi perkara-perkara mungkar bagi membentuk peribadi mulia.

"Kita selalu menyampaikan maklumat kepada masyarakat Islam bahawa agama itu indah apabila amalan kehidupan seharian kita dipraktikkan dalam acuan Islam.

"Begitu juga dengan penganut lain kerana setiap agama menganjurkan perilaku baik sehingga kita mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang boleh membudayakan amalan tersebut dalam kehidupan," katanya selepas melancarkan kempen itu di Plaza Tol Sungai Besi di sini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengurus Besar Jabatan Keselamatan Trafik Plus Malaysia Berhad (PLUS), Zakaria Shaffie.

Kempen bertemakan 'Jom Cegah Jenayah Syariah' itu diadakan bagi memberikan kesedaran dan memupuk sifat keprihatinan dalam kalangan masyarakat bagi mencapai sasaran sifar jenayah syariah menjelang tahun 2015.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, pendekatan pendidikan dan pencegahan melalui kempen itu merupakan satu inisiatif supaya jabatan agama Islam tidak dilihat sebagai badan yang menghukum semata-mata.

Menurutnya, skop kempen tersebut diperluaskan di kawasan tumpuan orang ramai berbanding hanya dilakukan di masjid dan surau sebagaimana tradisi program agama dilaksanakan sebelum ini.

"Masyarakat akan dapat melihat proses pendidikan ini bukan tangkapan semata-mata, tetapi memberikan kesedaran menyeluruh terutama kepada kelompok remaja dan anak muda.

"Media juga perlu memainkan peranan dalam usaha itu termasuk menyampaikan maklumat tepat segala berkaitan hukuman jenayah syariah yang mempunyai banyak perbezaan dengan sivil. Hal ini kerana wujud stigma dalam pemikiran masyarakat terutamanya berhubung hukuman sebatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment