My Add

Friday 21 December 2012

Sasaran baru Tabung Gaza POKB RM250,000

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menetapkan sasaran baru RM250,000 bagi mengisi Tabung Gaza yang dilancar oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, berbanding sasaran awal RM40,000 sebelum ini.

Presiden POKB, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan yang diterima serta sifat pemurah masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Setakat ini katanya, Tabung Gaza POKB yang dilancar 22 November lalu telah mencecah RM225,000 iaitu RM150,000 daripada sumbangan pelanggan pasar raya Mydin dan RM50,000 lagi daripada para pelanggan restoran Secret Recipe di seluruh negara.

Selain itu katanya, POKB turut menerima RM10,000 daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), RM5,000 setiap seorang daripada Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin dan Pengarah Urusan Secret Recipe, Datuk Steven Sim serta RM5,000 lagi daripada orang ramai pada hari pelancaran tabung.

"Kami amat terharu kerana walaupun POKB baru ditubuh, terdapat keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap kami dan ini perkembangan menarik jadi terima kasih kepada rangkaian orang Kota Bharu dan para penderma seluruh negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, kejayaan kutipan derma yang jauh melebihi sasaran awal setakat ini membuktikan masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersatu bagi membantu masyarakat Palestin atas nama kemanusiaan.

Oleh itu, katanya, kutipan tabung tersebut akan diteruskan sehingga 31 Disember ini sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk disampaikan pula kepada wakil Gaza di Kedutaan Palestin di sini.

"Ini bukan soal agama sahaja, tetapi atas nama kemanusiaan tanpa mengira agama atau keturunan. Jadi semangat rakyat negara ini amat membanggakan dan membuatkan kami terharu," katanya.

Mereka yang berminat menyumbang boleh menghubungi Ketua Sekretariat Tabung Gaza POKB, Wan Mohamed Deen Wan Mohamed Zin di talian 012-3729291 atau disalurkan menerusi akaun Maybank POKB 512718102982 sehingga akhir bulan ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment