My Add

Thursday 20 December 2012

SBP, MRSM pembakar semangat catat keputusan PMR 8A

KUALA LUMPUR,RABU, 19 Disember, 2012: Harapan yang disandarkan ibu bapa Ahmad Mohsein Azman, 15 supaya diterima ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) menjadi pendorong kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan 8A dalam Peperiksaan Menegah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya berkata, beliau menyedari dengan keputusan PMR yang cemerlang membolehkan impian ibu bapanya tercapai.

Belia berkata, harapan tinggi serta pesanan ibu, Murni Mohamed Onn, 43 membakar semangatnya bagi membuka peluang untuk diterima ke SBP atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Sebagai anak sulong daripada dua adik-beradik, saya perlu tunjukkan contoh terbaik kepada adik. Ibu selalu pesan supaya belajar rajin-rajin dan pastikan dapat keputusan cemerlang dalam PMR,” katanya ketika ditemui BH Online selepas keputusan PMR diumumkan di sekolahnya di SMK Bukit Bandaraya di sini, hari ini.

Ahmad Mohsein berkata, pendekatan belajar dari awal lagi dan memberi tumpuan di kelas adalah kunci utama kejayaannya sehingga berjaya memperolehi keputusan cemerlang.

“Saya tidak pernah ke pusat tuisyen, hanya fokus ketika guru mengajar dan ulang kaji semula pelajaran bila pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ain Syafiqah Abdul Hafiz berkata, usaha berterusan selepas mengalami kekecewaan dalam peperiksaan percubaan Ogos lalu berbalas selepas mencatatkan keputusan semua A (8A). 

Beliau berkata, sokongan ibu, Ramlah Ghani, 43 dan guru mata pelajaran Sains, Linda Helen Gomez diakui menjadi pencetus untuk berusaha lebih gigih.

“Cikgu Linda pernah cakap, jangan mengalah...jangan putus asa...walaupun gagal dalam percubaan masih ada peluang kita terus berjaya,” katanya.

Beliau yang mengimpikan masuk ke MRSM Tun Ghafar Baba, berkata kejayaan yang diperoleh hari ini adalah di luar jangkaan sambil menyifatkan ia adalah rezeki daripada Allah.

Sementara itu, bapanya, Abdul Hafiz Mohd Yatim, 45 gembira dengan kejayaan yang diperoleh anaknya dalam PMR 2012.

“Kami tidak menduga anak saya (Ain Syafiqah) mampu mencatat keputusan luar biasa. Kalau hendak diikutkan dia seorang saja yang dapat keputusan semua A dalam kelas,” katanya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan, Abdul Hafiz berkata, galakan untuk terus berjaya dan mendoakan kejayaan terbaik buat anak-anak daripada ibu bapa adalah sangat penting.

“Ibu bapa juga perlu bijak dan banyak meluangkan masa untuk memantau segala aktiviti yang dilakukan anak-anak,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment