My Add

Monday 10 December 2012

Sejarah perjuangan tokoh terdahulu penting

Oleh MD. AZRIN ROSLY

KUALA LUMPUR, AHAD, 09 Disember, 2012: Sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu adalah penting bagi masyarakat mengetahui dan menghargainya dengan pembangunan, perpaduan dan keamanan negara yang dikecapi sehingga hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2012 dapat menyampaikan mesej itu kepada masyarakat terutama generasi muda.

"Kita mahu membudayakan masyarakat yang boleh kenal pasti fakta-fakta, berita yang benar, mengetahui sejarah dan bukannya melahirkan mereka yang buta sejarah dan akan hilang pedoman serta menghancurkan negara.

"Pertandingan ini penting agar mereka tidak lupa tentang sejarah lalu serta perjuangan lepas yang tidak datang bergolek sebaliknya hasil titik peluh pemimpin terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan itu yang kali ke-10 dianjurkan sejak 2003 di Auditorium Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Pertandingan bertemakan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah disertai sebanyak 80 kumpulan di peringkat negeri seluruh negara bermula Mei hingga Julai lalu.

Tambah Kamaruddin, format pertandingan tersebut telah melalui pembaharuan dari semasa ke semasa agar mampu menyampaikan mesej mengenai kepentingan perpaduan dan sejarah.

"Saya juga menyeru agar semua pihak menggembleng tenaga bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan kesatuan yang benar-benar utuh.

"Jika tidak, perkara ini akan menimbulkan prasangka dan ketidakpercayaan yang hanya akan membawa masa depan yang gelap," ujarnya.

Pertandingan dikendalikan Jabatan Penerangan dan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur antara 18 dan 45 tahun tersebut telah diperluaskan meliputi Tokoh Maal Hijrah, Ibu Mithali dan Tokoh Usahawan Berjaya berbanding hanya memberi fokus kepada tokoh-tokoh Perdana Menteri negara sebelum ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment