My Add

Wednesday 5 December 2012

Sektor makanan, minuman disasar sumbang RM30 bilion pada 2020

MELAKA, RABU, 05 Disember, 2012:: Sektor pelancongan dijangka menyumbang RM168 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2020 dan daripada jumlah itu RM30 bilion disasar disumbang subsektor makanan dan minuman.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yakin sasaran itu dapat dicapai kerana pelancong membelanjakan jumlah yang besar dalam subsektor makanan dan minuman sepanjang bercuti di negara ini.

Tahun lalu, subsektor itu menyumbang kira-kira RM10 bilion daripada RM58.3 bilion yang dihasilkan sektor pelancongan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Fabulous Food 1Malaysia 2012' peringkat negeri Melaka, di sini.

Katanya, kelebihan subsektor makanan dan minuman Malaysia terletak pada kepelbagaian juadah daripada pelbagai kaum di negara ini untuk dicuba oleh pelancong asing.

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, kementerian mahu pengusaha makanan dan minuman, terutama penjaja meningkatkan tahap kebersihan di premis masing-masing, katanya.

Mengenai pesta itu yang mengetengahkan makanan penjaja, Ng berkata program itu adalah antara inisiatif berterusan kementeriannya dalam memperkenalkan kepelbagaian makanan di negara ini.

Sebanyak tiga menu dipilih sebagai ikon makanan pada program itu setiap tahun dan kali ini juadah yang dipilih ialah yong tau fu, rojak dan mi rebus, katanya.

Menurutnya, kementerian itu mengalu-alukan cadangan pengusaha serta masyarakat amnya, mengenai makanan yang boleh dijadikan ikon dalam mempromosi pelancongan negara pada masa depan. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment